PAS bantah pencalonan Anwar, kesal sikap SPR

Berita
Typography

PORT DICKSON: Satu bantahan telah dikemukakan oleh PAS kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kelayakan calon Pakatan Harapan (PH), Dato' Seri Anwar Ibrahim bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

PAS kesal dengan tindakan SPR yang tetap menerima permohonan calon PH itu walaupun pada awalnya SPR telah menerima surat bantahan daripada pencadang calon PAS yang membantah pencalonan Anwar.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Setiausaha Agung PAS, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, bantahan itu dibuat susulan perkara 42 Perlembagaan Persekutuan hanyalah merujuk kepada pengampunan terhadap pelaksanaan hukuman sama ada meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, bukan bermaksud membatalkan secara langsung sabitan kesalahan jenayah. (Foto atas: Takiyuddin menunjukkan surat bantahan terhadap pencalonan calon Anwar.)

"Surat bantahan itu telah diterima oleh pegawai pengurus SPR dengan menandatangani borang bantahan tersebut. Sepatutnya pegawai SPR perlu maklumkan bantahan tersebut diterima atau ditolak tetapi pegawai pengurus SPR tidak membuat keputusan sama ada diterima atau tidak bantahan ini.

"Ini adalah soal undang-undang yang dibawa oleh Ramli Ismail selaku pencadang kepada calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar. Jadi kita menuntut kepada SPR supaya memberitahu kepada rakyat Malaysia kenapa bantahan ini tidak diberikan keputusan sama ada diterima atau tidak," katanya yang turut mengiringi calon PAS pada penamaan calon PRK Parlimen Port Dickson, pagi tadi.

Pada pandangan beliau, bantahan itu amat berasas berdasarkan undang-undang.

Beliau menuntut SPR supaya membuat keputusan mengenai bantahan itu sebelum proses pilihan raya yang akan diadakan pada 13 Oktober ini. – HARAKAHDAILY 29/9/2018

pd16