‘Airport Sungai Bagan’ hub udara Pantai Timur

Berita
Typography

CADANGAN kerajaan negeri membina Lapangan Terbang Antarabangsa di Sungai Bagan, Machang turut mendapat sokongan Ikatan Eksekutif dan Teknokrat Malaysia (METRA).

Pengerusinya, Ir Ariffahmi Ab Rahman berkata agensi kerajaan negeri termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) difahamkan meneliti potensi kawasan itu untuk pembangunan masa depan.

Katanya anak syarikat kerajaan (GLC) negeri dan Persekutuan perlu berganding bahu bagi menjayakan projek terbabit.

“Sungai Bagan melibatkan kawasan seluas 600 ekar dan kos pengambilan tanah sekitar RM50 juta hanya satu jumlah yang kecil berbanding projek lain kerajaan Persekutuan.

“Kami mengesa Perdana Menteri memberi keutamaan dengan meminta GLC seperti  Khazanah membangunkan kawasan itu kerana kos pengambilan tanah masih dikira murah dalam konteks pembangunan bandar airport,” katanya di sini.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan minggu lepas anggota Exco kerajaan negeri Datuk Hanifa Ahmad memberitahu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa tidak sesuai untuk dijadikan lapangan terbang bertaraf antarabangsa.

Katanya pelebaran lapangan terbang itu melibatkan kem tentera dan Taman Bendahara yang terletak di kawasan berdekatan.

Oleh itu menurutnya kerajaan negeri mencadangkan Sungai Bagan sebagai lokasi paling sesuai bagi membina lapangan terbang antarabangsa di Kelantan.

Kata beliau lapangan terbang sedia ada sesuai bagi penerbangan serantau meliputi negara-negara ASEAN.

Ariffahmi juga berkata Lapangan Terbang Sungai Bagan akan muncul sebagai hub udara di Pantai Timur Semenanjung yang akan menghubung Kelantan ke Indo China, Asia Selatan dan Asia Timur. - HARAKAHDAILY 27/3/2017

kgjoh