Perlu peka pelan ‘Deal of The Century’

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Pemuda PAS perlu peka terhadap perkembangan pelan ‘Deal of The Century’ iaitu satu usaha untuk menghapuskan Palestin secara menyeluruh yang semakin giat dijayakan Zionis Israel dan sekutunya.

Pengasas Persatuan Cinta Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menyuarakan seruan tersebut ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Kali Ke-59 di Duyong Marina & Resort, di sini semalam.

Bentang beliau, antara sedang dilaksanakan ialah pembukaan pintu sempadan Rafah bertujuan untuk menggesa penduduk Gaza keluar berpindah, khusus kalangan pemudanya dengan mengadakan pelbagai projek bernilai bilion USD di Sinai.

Namun menurutnya, penduduk Palestin bangkit mengadakan Masiratul Masirah ‘Audatul Kubra atau The Great Return March, satu usaha yang dilakukan oleh penduduk-penduduk di bumi Palestin dari segala kelompok yang ada di sana.

Terang beliau, tujuan mereka mengadakan perarakan di sempadan-sempadan Gaza-Israel itu adalah untuk menaikkan semula isu Palestin yang semakin padam di dalam hati umat Islam dan menarik perhatian antarabangsa.

“Supaya sekatan diangkat, hak pelarian dibenarkan pulang ke tanah mereka sejak dihalau keluar tahun 1948. Mahu supaya negara ganti untuk Palestin dalam pelan yang disebut sebagai ‘Deal of The Century’ dihapuskan.

“Telah terkorban di semata-mata untuk menarik perhatian kita berkenaan dengan isu tersebut telah mencecah 174 syahid. Cedera telah lebih daripada 10,000 ribu orang,” ceritanya mengenai demonstrasi yang dilancarkan pada 30 Mac 2018 itu.

Katanya, demonstrasi 14 Mei 2018 paling ramai mengorbankan syuhada’ yang paling ramai di mana ribuan pemuda Palestin bergerak selangkah demi selangkah mendekati sempadan dalam keadaan tentera Zionis pula lengkap bersenjata.

Malah, Zionis juga bersama kekuatan kereta kebal Markava, kereta-kereta perisai dan para penembak tepat, namun para pemuda Palestin mara bersama Unit Tayar yang bertindak menyalakan api untuk mengeluarkan asap hitam.

Keadaan tersebut ujarnya, menyebabkan penembak tepat tentera Zionis tidak nampak pemuda Palestin dari Unit Pagar yang menarik pagar dengan besi panjang hingga dapat masuk ke tanah asal mereka.

“Di kanan, di kiri para pemuda tumbang, ditembak oleh ‘sniper’ yang begitu pakar. Ada seorang ataupun tiga orang pemuda yang tumbang dengan satu peluru daripada seorang 'sniper',” ceritanya mengenai kegetiran dihadapi.

Oleh itu peringat Nadir, Pemuda PAS jangan malas bermesyuarat, berusrah, hadir ke muktamar, tamrin dan sebagainya kerana sikap sedemikian akan menyebabkan Palestin berundur setapak ke belakang atau terkepung.

Sebaliknya beliau menyeru mencontohi para pejuang Briged Izzuddin al-Qassam yang menyebabkan Zionis menyerah kalah dalam perang 7 hari Hijaratul Sijjil tahun 2012 dan perang 51 hari tahun 2014 atas kemampuan roket mereka sampai ke Tel Aviv dan Haifa.

Bahkan menurutnya, Briged itu juga mampu mencipta senjata penembak tepat yang boleh mencapai jarak 2 kilometer, selain drone tanpa juruterbang hingga menggerunkan tentera Zionis. 

“Maka hari ini dalam waqi’ masing-masing, kita perlu mempunyai senjata-senjata baru untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam. Jangan hanya duduk statik,” ujarnya menyeru Pemuda PAS memulakannya dengan menggiatkan usaha dakwah di Sabah dan Sarawak. -HARAKAHDAILY 15/9/2018