10 arahan khas depani cabaran Malaysia Baharu

Berita
Typography

KUALA NERUS: Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di sini hari ini menekankan 10 arahan kepada seluruh ahli dan pendukung perjuangan.

Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ini sejajar dengan aspirasi PAS menggalas perjuangan Islam yang besar dan luas, menghadapi kumpulan lain dalam kalangan umat Islam dan juga bukan Islam.

Katanya lagi, semua umat manusia dalam masyarakat majmuk adalah saudara yang wajib diselamatkan bersama Islam.

"Para ulama membahagikan mereka semuanya dalam skop umat Nabi Muhammad S.A.W yang wajib dipimpin bersama Islam, terbahagi kepada ‘Ummah Ijabah’ yang telah menganut Islam dan ‘Ummah Dakwah’ yang tidak menganut Islam tetapi diajak bersama Islam," kata Tuan Guru Abdul Hadi.

Dalam ucapannya beliau berkata, PAS menerusi Lajnah Penerangan dan Lajnah Dakwah, mestilah digerakkan sepenuhnya untuk membawa mesej dakwah ke dalam masyarakat Islam secara berkesan untuk menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan, dengan kefahaman Islam yang sebenar.

Untuk masyarakat bukan Islam pula, kata beliau semua jentera parti mestilah mendekati dan memberikan penjelasan supaya masyarakat memahami mesej yang dibawa.

Dalam masa yang sama PAS juga memahami keperluan rakan-rakan seperjuangan.

Untuk itu kata beliau, DHPP adalah jambatan penting menghubungkan PAS dalam masyarakat majmuk, dan menjalin hubungan dengan parti komponen BN untuk mendekati rakan-rakan daripada kaum lain.

Presiden tegaskan Harakah mesti dibaca, disokong ahli

Beliau turut menegaskan bahawa peranan media rasmi PAS seperti Harakah, Harakahdaily, HijauFM, dan pelbagai platform media sosial mestilah disokong oleh ahli di semua peringkat.

"Ini bagi memastikan usaha membentuk fikrah dan menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti dapat disampaikan dengan baik kepada rakyat, selain menjadi contoh dalam menangani budaya fitnah dan kerosakan yang menguasai media di luar sana," kata beliau.

Beliau juga berkata, penumpuan khusus untuk mengukuhkan tapak PAS di Sabah dan Sarawak secara intensif perlu dilakukan.

Di samping itu, permasalahan di kalangan rakyat desa dengan tahap pendapatan yang rendah, sama ada petani, peneroka Felda, penoreh getah, nelayan, peniaga kecil, kakitangan sokongan dan seumpamanya mesti terus didekati oleh PAS bagi membawa suara mereka ini.

Seterusnya mengangkat peranan segmen ini sebagai penyumbang utama ekonomi negara.

Kesemua isu yang melanda masyarakat peneroka dan rakyat desa ini, menuntut supaya PAS melipat gandakan usaha untuk membela dan membantu golongan ini.

Seterusnya menjadi penghubung dengan institusi yang dipertanggungjawabkan untuk membela nasib rakyat, seperti Felda, MARA dan PNB.

PAS juga menyarankan agar dibangunkan industri hiliran dan kaedah pemasaran yang dapat membantu meningkatkan tahap ekonomi mereka.

Di samping itu, peluang pendidikan, khidmat kesihatan, dan peluang pekerjaan adalah perkara yang perlu diutamakan kepada generasi muda, dan juga rakyat awam yang terjejas di luar sana.

PAS akan terus memperjuangkan kebajikan rakyat, menerusi lajnah-lajnah dan dewan-dewan di semua peringkat.

Tindakan bersama (10 arahan)

Berikut adalah 10 arahan yang terkandung dalam Ucapan Dasar Presiden PAS:

- Pertama, semua pihak dalam PAS Pusat, Dewan-Dewan, Badan Perhubungan PAS Negeri dan PAS Kawasan mestilah mempunyai kefahaman yang jelas terhadap tema "ISLAM MEMIMPIN”, seterusnya merangka perancangan melalui pendekatan BPMS dan kesediaan untuk bekerjasama atas perkara kebaikan di semua peringkat.

-Kedua, Pentarbiahan pimpinan dan ahli adalah elemen asasi yang perlu diteruskan melalui aktiviti usrah, tamrin dan liqa' fikri mengikut marhalah yang telah ditetapkan. Penumpuan wajar diberikan untuk memberi penambahbaikan dalam aspek silibus, kompetensi nuqaba’ dan sistem pemantauan, di samping proses pembentukan fikrah di kalangan anak ahli PAS dan pelapis perjuangan.

- Ketiga, pentadbiran Organisasi di semua peringkat perlu terus diperkemaskan supaya lebih berkesan. Selain, sistem KPI dan perancangan strategik yang semakin diamalkan di Peringkat Negeri dan Kawasan, beberapa aspek pengurusan organisasi wajar diberi nilai tambah, antaranya dalam kempen penambahan ahli, pengurusan sumber manusia, kualiti mesyuarat, serta pengurusan kewangan yang sistematik.

- Keempat, Dewan Ulama perlu bertindak pantas menjadi jurubicara untuk menjelaskan isu semasa dengan merujuk kepada panduan Al-Quran dan As-Sunnah, serta proaktif dalam menganjurkan seminar ‘ilmiyyah dalam memahami persoalan Maqasid dan Siyasah Syar’iyyah. Ulama perlu menarik seramai mungkin cerdik pandai untuk bersama PAS, di samping keperluan untuk menguasai ilmu moden dan mengembangkan dimensi ilmu yang dikuasai.

- Kelima, Dewan Muslimat perlu mendepani pelbagai isu masyarakat dan menyentuh hati nurani rakyat, melalui aktiviti kebajikan dan kekeluargaan. Dewan Muslimat berperanan besar dalam menentukan kuasa politik dan kejayaan membina kualiti insan dalam negara. Penganjuran aktiviti mesra-wanita dalam lapangan kemahiran, minat dan riadah boleh dijadikan wadah untuk mendekatkan PAS kepada golongan wanita.

- Keenam, Dewan Pemuda mestilah sentiasa dinamik, melengkapkan diri dengan ilmu Islam, dan bersedia menyambung legasi perjuangan kepimpinan. Pendekatan dakwah yang kreatif, penguasaan media sosial dan penglibatan di lapangan anak muda mesti dimanfaatkan untuk membawa mesej Islam. Pemuda juga perlu mendepani isu nasional dan antarabangsa, serta mampu mengemukakan solusi terhadap permasalahan rakyat dan anak muda.

- Ketujuh, DHPP wajar diperkemaskan dengan mempunyai modul-modul latihan khusus kepada ahlinya, dibangunkan bersama oleh Lajnah Tarbiah dan Lajnah Dakwah. DHPP di semua peringkat wajar menjadi jambatan yang menghubungkan PAS dengan parti politik dan NGO berasaskan kaum dan agama yang lain, bagi menarik sokongan pengundi bukan-Melayu yang boleh berubah dalam PRU15 kelak.

- Kelapan, pimpinan dan ahli PAS yang memikul tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis Kerajaan Tempatan, Anggota Lembaga Pengarah, Ketua Kampung dan Jawatankuasa yang berkaitan perlu melaksanakan amanah dengan sempurna.

Semua yang dilantik wajib menunjukkan adab, akhlak dan keilmuan yang tinggi ketika perbahasan dan menghormati penjawat awam, sehingga menjadi contoh ikutan pihak lain.

- Kesembilan, Kawasan dan Cawangan perlu mempunyai sasaran kerja yang jelas dan dipantau oleh pimpinan Negeri. Program dalaman seperti aktiviti tarbiyah dan kepimpinan mestilah menjadi agenda yang penting dalam taqwim tahunan, di samping mempelbagaikan program kebajikan dan kemasyarakatan untuk menambah ahli dan menarik sokongan rakyat kepada PAS.

- Kesepuluh, pimpinan dan ahli PAS secara keseluruhannya perlu menjaga hubungan dengan Allah, membina syakhsiah dengan Ta’lim dan Tarbiyah, membekalkan ilmu kepada akalnya secara bertafaqquh, menanamkan iman dan akhlak yang mulia kepada rohaninya, serta wajib melengkapkan diri dengan ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah mengikut kemampuan. – HARAKAHDAILY 15/9/2018