PAS Kubang Kerian utuh selepas bekas YDP sertai PAN

Berita
Typography

PAS Kawasan Kubang Kerian kembali utuh selepas bekas Yang Dipertuanya Datuk Husam Musa kini bersama Parti Amanah Negara (PAN).

Krisis kepimpinan yang berlaku tahun lepas tidak menjejaskan sokongan di peringkat akar umbi. Ini dibuktikan kehadiran perwakilan dari setiap cawangan begitu memberangsangkan.

Parlimen Kubang Kerian mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Demit, Pasir Tumboh dan Salor diperkuatkan dengan kepimpinan baru PAS kawasan berkenaan.

Mesyuarat Agung PAS Kubang Kerian kali ke-43 dirasmikan Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Senator Datuk Johari Mat.

Ia menyaksikan pelantikan kepimpinan tertinggi PAS kawasan itu yang dimenangi tanpa bertanding, pemilihan hanya berlaku di peringkat Ahli Jawatankuasa (AJK).

Seramai 26 calon  bertanding bagi merebut 16 AJK PAS Kubang Kerian.

Yang Dipertua, Abdul Rahman Yunus; Timbalan Yang Dipertua, Mumtaz Md Nawi; Naib Yang Dipertua, Mohd Asri Daud dan Ketua Urusan Ulamak, Rofie Hussin.

Kepimpinan itu bakal memberi nafas baru kepada PAS kawasan berkenaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 yang bakal diadakan tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 26/3/2017