Pasaraya Wakaf peluang raih pahala

Berita
Typography

DUNGUN: Wakaf sambil mendapat ganjaran di akhirat kelak, demikian konsep yang dianjurkan dalam memajukan Pasaraya Wakaf di bawah Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat.

Ia sebagai peluang kepada rakyat Terengganu, khususnya ahli PAS untuk sama-sama berperanan memberi kesedaran masyarakat mengukuhkan ekonomi umat Islam rantau ini.

Demikian ujar Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada sidang media selepas merasmikan program Pasaraya Wakaf PAS Pusat di sini, petang ini.

Tambah beliau, penubuhan pasaraya itu sekurang-kurangnya bagi memberi kesedaran untuk mengambil peranan ekonomi masyarakat setempat untuk sama-sama menyokong kepada kebaikan parti dan rakyat.

"Pasaraya Wakaf ini telah mendapat kutipan sebanyak sejuta sehingga kini. Dan kita mahu RM11 juta lagi untuk menyiapkan proses pembinaan pasaraya wakaf ini," katanya

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, menerusi perasmian pasaraya wakaf itu, PAS mendapat modal daripada ahlinya bagi membangunkan ekonomi.

Ujar beliau, kebanyakannya adalah daripada ahli PAS selebihnya daripada orang awam dan pelbagai pihak yang menyumbang.

Ini kerana katanya, parti tidak memberi dana kepada ahli, malah ahlilah yang mendanai parti.

"Sehubungan itu, hasil keuntungan projek pertama pasaraya wakaf ini akan memberi pulangan manfaat kepada penyumbang," katanya lagi.

Selain itu katanya, ia akan digunakan untuk program kebajikan dan tujuan dakwah. – HARAKAHDAILY 11/9/2018