PAN bantu Umno 'calar' imej Islam di Kelantan

Berita
Typography

PARTI Amanah Negara (PAN) dianggap membantu Umno bagi mencalarkan agenda Islam yang ditanam jiwa rakyat Kelantan sejak 1990 sehingga sekarang.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata tindak tanduk parti serpihan tersebut berdepan dengan PAS di Kelantan seperti mahu memberi kemenangan mudah kepada Umno.

"PAN seperti lebih rela Umno menang di Kelantan berdasar tindak tanduk mereka sekarang.

"Tidakkah tindakan mereka seperti membantu Umno bagi merosak amalan Islam yang sudah lama dilaksanakan di Kelantan?" katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Pemangku Yang Dipertua (YDP) Dr Rosli Alani Abdul Kadir dan pimpinan kawasan terbabit.

Seramai 408 perwakilan hadir pada mesyuarat kali ke-50 tersebut. Pada mesyuarat itu Adun Bunut Payong, Datuk Ramli Mamat menang tanpa bertanding jawatan timbalan YDP.

Manakala Adun Kota Lama Datuk Anuar Tan Abdullah kekal jawatan naib YDP tanpa bertanding. Jawatan YDP meyaksikan perlawanan dua penjuru antara Dr Rosli dan Takiyuddin.

Seramai 30 bertanding jawatan AJK. Pengerusi Tetap pula dimenangi Nordin Ibrahim dan timbalan, Mohd Lokman Mohd Salleh.

Ustaz Idris juga berkata dalam keadaan apa sekalipun Kerajaan Kelantan yang ada sekarang mesti dipertahankan.

"Kelantan menjadi guru politik Islam di negara kita. Segala perkara yang dilaksanakan di negeri ini banyak ditiru kerajaan pusat termasuk cuti dua hari seminggu dan dasar rumah tiga bilik," ujarnya.

Sementara itu, Takiyuddin menang jawatan YDP PAS Kota Bharu. Jawatankuasa pemilihan itu dikendalikan PAS Bachok. - HARAKAHDAILY 25/3/2017

kb