Pertikai sebat untuk tutup kes Guan Eng

Berita
Typography

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pertikaian dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan tentang hukuman sebat di khalayak ramai yang berlaku di Terengganu adalah untuk menutup kes penarikan balik tuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang jauh lebih besar daripada isu sebat.

Katanya, Terengganu memperkenalkan peraturan dalam kerangka undang-undang yang dibenarkan di negara ini.

"Tidak sepatutnya ada Kabinet mengeluarkan kenyataan yang mengkritik undang-undang dan hukuman tersebut. Kita menganggap ini sebagai satu tindakan tidak menghormati keputusan Mahkamah Syariah di negeri Terengganu.

"Semua pihak mesti menghormati peraturan yang ada selagi ia berada dalam kerangka peraturan undang-undang yang dibenarkan di negara kita.

“Undang-undang yang berlaku di bawah pentadbiran negeri di bawah Mahkamah Syariah yang lulus melalui parlimen, mereka berjalan seperti yang dibenarkan oleh parlimen. Sepatutnya kita menghormati kerangka tersebut," katanya pada ceramah mega sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Seri Setia, malam tadi.

Beliau menjelaskan bahawa pesalah terbabit diberi tempoh 14 hari untuk membuat rayuan, tetapi mereka tidak membuat rayuan dan hadir sendiri yang memminta supaya dilaksanakan hukum tersebut agar Allah mengampun dosa mereka.

“Kita perlu menghormati undang-undang yang ada, kalau tidak hormat buat apa perlu adanya undang-undang kalau sentiasa dipertikaikan.

"Dalam kes takzir tidak sama dengan kes hudud dan qisas, kerana kes takzir berada di bawah undang-undang negeri, tapi ia perlu diselaraskan agar tidak timbul perbandingan yang dianggap negatif di bawah undang-undang Mahkamah Syariah.

"Mungkin apa yang berlaku di Terengganu akan membuka ruang supaya Mahkamah Syariah duduk bersama, menilai kembali dan menyelaraskan kes-kes takzir agar hukumannya dapat diselaraskan oleh semua negeri yang ada," tambahnya.

Turut hadir pada ceramah mega tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi; Presiden Umno, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran Sanasee; calon PAS Dun Seri Setia, Dr Halimah Ali. – HARAKAHDAILY 7/9/2018