26
Wed, Jul
17 Artikel Baru

Manfaatkan kepakaran teknokrat urus ehwal negara

Berita
Typography

KALANGAN teknokrat boleh dilantik menjalankan peranan sebagai menteri dalam sesebuah pemerintahan bagi menangani dan menyelesaikan masalah semasa dihadapi rakyat, demikian menurut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Terang beliau, perkara itu adalah sebagaimana dinyatakan Imam Al-Mawardi di dalam kitab Ahkam al-Sultaniah mengenai keperluan melantik seseorang dengan melihat isu di zamannya.

"Kalau zaman banyak ahlil bida'ah yang banyak reka-reka perkara agama, kena lantik orang yang kuat hujah agama dia lawan ahlil bida'ah, ini diutamakan.

"Kalau zaman banyak orang kacau, samseng, orang jahat, ada calon dia ilmu agama bijak, tetapi penakut dan ada (calon) yang kuat ilmu agama dan berani, (kena) pilih yang berani," ujarnya dalam sesi dialog pada Konvensyen Profesional Malaysia di Promenade, Garden Residence, di Cyberjaya, semalam.

Malah dijelaskan pada sidang medianya, perkara itu secara teori adalah penglibatan cendikiawan pelbagai bidang dalam kerajaan di mana peranan mereka sememangnya tidak terpisah dari politik negara.

Bahkan seru beliau, kalangan teknokrat ini perlu ditampil dan diketengahkan bersama roh Islam sebagai alternatif kepada sistem Barat yang telah menunjukkan kegagalannya.

PAS sendiri menurutnya, sejak ditubuhkan tahun 1951 lagi telah disertai dan melibatkan semua kalangan termasuk profesional dan ahli bukan politik, selain setiausaha kerajaan beberapa negeri.

Begitu juga ujar beliau, ucapan pemimpin PAS di Parlimen menyentuh semua bidang kerana dibantu dari penglibatan tokoh pelbagai bidang itu.

Demikian itu tegas Tuan Guru, dikotomi ulama dan profesional adalah pemisahan sengaja ditonjolkan oleh mereka yang cuba memecahkan PAS.

Dalam pemilihan muktamar katanya, ahli-ahli PAS telah menunjukkan bahawa mereka tidak hanya memilih kalangan agamawan sahaja, tetapi juga ahli profesional, kerana tindakan memisahkan mereka dari agama adalah salah.

Menurut beliau, teknokrat yang dilahirkan Islam telah berjaya mencipta tamadun sains dan teknologi hingga diambil oleh Tamadun Barat, selain banyak tamadun seperti Parsi, Greek, Mesir, Romawi dan India diambil dari orang Islam.

Malah jelasnya, terdapat juga tamadun yang diislah dan ditajdidkan orang Islam iaitu dengan mengambil ilmu bermanfaat kepada orang Islam atau dimasukkan roh Islam dalam ilmu itu hingga melahirkan Hadharah Islamiyah.

"Jadi dalam pemerintahan Islam, boleh menerima kepakaran untuk melaksanakan kebajikan atas rakyat termasuk kepakaran bukan Islam," terang beliau. - HARAKAHDAILY 19/3/2017