24
Fri, Mar
163 New Articles

PAS memandang serius pernyataan bahawa seramai 4.1 juta orang rakyat Malaysia yang telah layak tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Pengarah Jabatan Pillihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan sistem pendaftaran pemilih perlu dipertingkatkan.

Katanya, ia membawa risiko, kerana sejumlah yang besar di kalangan orang muda tidak akan dapat mengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Dan (kenyataan ini) jadikan mereka tak dapat mengundi pada PRU akan datang (kerana) lebih 90% adalah pengundi-pengundi muda yang tak berdaftar.

“Jadi, kita melihat terutama sekali mereka ini kurang komitmen (tidak) memikirkan bahawa satu kewajipan yang menyebabkan mereka tidak mendaftar,” jelasnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian pada program Temubual Mengulas Isu terbabit oleh HARAP TV, kelmarin.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat itu menyifatkan sistem pendaftaran yang diamalkan oleh SPR menyumbang kepada masalah tersebut.

“Sistem, pada saya yang dibuat oleh SPR yang menyukarkan belia, pemuda untuk mendaftar sebagai pengundi,” tegasnya.

Katanya, pelbagai permasalahan berlaku apabila SPR perkenalkan sistem mendaftar melalui pejabat pos.

“Yang pertama, kena datang ke pejabat pos. Yang kedua, mereka perlu pergi ke pejabat SPR dan kemudian ada operasi bergerak yang dibuat oleh SPR di atas permintaan dan juga mereka juga mengadakan pendaftaran di pasaraya.

“Pada saya, sistem ini masih tak cukup terutama isu pejabat pos. Di Dun saya tidak ada dan banyak Dun, Air Putih. Mereka terpaksa ke bandar, mereka terpaksa tinggal kerja, mereka terpaksa guna duit untuk pergi dan kesedaran tak begitu tinggi di kalangan pemuda-pemuda untuk berdaftar.

“Ini menjadi kesulitan, begitu juga dengan pejabat SPR jauh,” tegasnya.

Katanya, beliau tidak menafikan ada satu usaha yang dibuat oleh pihak SPR dengan melantik penghulu dan juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mendaftarkan pemilih.

Namun katanya, tindakan itu menjadikan SPR tidak adil dan berpihak.

“Bila JKKK (dilantik) tentu dia akan daftar hanya orang Umno sahaja dan jadi ia menyebabkan SPR berpihak. Bagaimana SPR boleh berpihak? Sedangkan Pegawai SPR, Pembantu Pendaftar Sementara (PPS) yang dilantik oleh SPR,” kata beliau.

Sebaliknya, dahulu kata beliau, SPR melantik PPS dari kalangan parti politik dan membenarkan Umno dan PAS sama-sama mendaftarkan ahli-ahli mereka.

“Dibenarkan kepada kita satu Dun, dua orang. Kalau ada 32 Dun, 64 orang PPS dilantik daripada kalangan parti politik. Di sebelah Umno boleh, PAS pun boleh. Di sini wujud keadilan dalam SPR, sistem ini kita tak pasti apa masalah (mengapa SPR tidak laksanakan)?“ soal beliau.

Menurutnya, PAS sudah lama mencadangkan agar pendaftaran pengundi dibuat secara atas talian (online) atau pendaftaran secara atomatik apabila sampai umur 21 tahun.

USIA sesebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bukanlah menjadi keutamaan tetapi yang paling penting adalah sistem penyelenggaran yang baik, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum.

Beliau turut memberi contoh helikopter Nuri yang sudah sekian lama digunakan di dalam TUDM tetapi sehingga hari ini pesawat itu masih boleh digunakan dengan baik.

"Helikopter Nuri yang sekian lama kita boleh guna sampai sekarang ini, kerana kita selenggara dengan baik," kata beliau ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Ahmad Baihaki Atiqullah di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, pesawat yang baru dibeli beberapa tahun yang lalu misalnya EC725 telah mengalami masalah teknikal menyebabkan ia tidak boleh terbang.

"Jadi kita tidak boleh tentukan jika kapal terbang baru pasti tidak berlaku masalah. EC725 itu yang baru tetapi tercabut sayap semasa penerbangan," katanya.

Terdahulu di dalam soalan tambahan, Baihaki membangkitkan soal umur pesawat yang sudah lama antara faktor yang menyebabkan berlakunya nahas seperti mana kejadian yang berlaku di Pulau Pinang penghujung tahun 2016.

"Adakah sistem penyelenggaran pesawat itu bertepatan ataupun mengikut SOP yang ditetapkan dan apakah langkah-langkah terbaik kerajaan untuk mengurangkan risiko kemalangan nahas supaya tidak berulang lagi," katanya.

Di dalam soalan asal Baihaki meminta Menteri Pertahanan menyatakan apakah hasil laporan siasatan tragedi nahas pesawat TUDM jenis Beechcraft yang terhempas di Butterworth Pulau Pinang pada penghujung tahun 2016. - HARAKAHDAILY 16/3/2017

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan menjelaskan beliau sudah memberi ruang secukupnya kepada mana-mana Adun mengambil bahagian membahas titah ucapan Pemangku Raja di persidangan Dun sejak pagi semalam.

Datuk Abdullah Ya’kub berkata selepas sesi soal jawab semalam mana-mana Adun dibenarkan berucap membahas ucapan Diraja.

Katanya, tidak berbangkit mana-mana Adun diketepikan untuk mengambil bahagian sebagaimana didakwa Adun Salor Datuk Husam Musa.

“Ketika ditangguh mesyuarat petang semalam Adun Salor tidak bangun untuk mengambil bahagian. Namun apabila Timbalan Speaker Abdul Latif Abdul Rahman menangguh petang semalam baru Adun terbabit bangun hendak berucap.

“Dan hari ini Adun berkenaan bangun lagi hendak berucap ketika pihak kerajaan sedang menggulung perbahasan,” katanya ketika ditemui selepas persidangan di Kota Bharu hari ini.

Ketika Speaker meminta anggota Exco menggulung perbahasan titah Diraja selepas persidangan berhenti rehat jam 11.05 tadi, Husam bangun untuk berucap.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Datuk Hanifa Ahmad tidak memberi laluan memandangkan tempoh perbahasan sudah berakhir.

Husam berdiri dengan menyebut Peraturan Tetap Dewan. Bagaimanapun Abdullah menjelaskan tempoh perbahasan sudah diberi secukupnya untuk mana-mana ahli Dewan mengambil bahagian.

Namun ketika giliran Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob menggulung Adun PAN sekali lagi bangun meminta ruang untuk berucap.

Ketika itu Husam mempertikaikan kelulusan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Nassurudin Daud untuk bercakap isu baiah.

Beliau enggan duduk biar pun diminta berkali-kali oleh Speaker.

Ekoran keengganan itu Speaker mengarahkan Bentara mengeluarkan Adun Salor kerana menganggap mengganggu perjalanan Dewan.

Ustaz Ahmad pula berkata, pihak kerajaan negeri memberi ruang secukup kepada setiap ahli Dewan mengambil bahagian berbahas.

“Seramai enam pembangkang dan tiga wakil Kelab Penyokong Kerajaan berucap membahaskan titah ucapan Diraja. Ini menggambarkan ketelusan kerajaan negeri,” katanya.

Ditemui pemberita selepas itu Menteri Besar berkata hari ini penggulungan pihak kerajaan dan Adun Salor tidak sepatutnya mengambil kesempatan. Katanya, Adun terbabit sepatutnya mengambil peluang semalam sekiranya mahu membahaskan titah berkenaan.

"Setiap ahli dewan sudah dibekalkan buku mengenai peraturan yang perlu dipatuhi sebagai Adun. Arahan meminta Husam keluar dewan dibuat mengikut peraturan sedia ada," katanya.

Perkara 51 Peraturan Tetap Dun Kelantan menjelaskan Speaker berhak untuk mengarahkan mana-mana ahli yang kelakuannya melampau-lampau supaya mengundurkan diri serta merta. – HARAKAHDAILY 22/3/2017

TANPA mendapat gambaran sebenar penyokong PAN cuba menyalahkan Speaker Dun Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub apabila mengarahkan Adun Salor Datuk Husam Musa meninggalkan Dewan semalam.

Keadaan itu boleh dilihat di media sosial milik PAN. Sedangkan situasi sebenar cuba disembunyikan mereka.

Ketika peluang berucap diberi kepada setiap Adun, wakil rakyat terbabit tidak mengambil peluang. Enam pembangkang diberi peluang berucap membahas titah Diraja.

Bagaimanapun ketika penggulungan dilakukan pihak kerajaan, Adun Salor bangun hendak berucap, sedangkan peluang awal sudah diberi.

Mengulas isu berkenaan anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Nassurudin Daud berkata, Adun Salor dianggap tidak aktif pada persidangan dewan.

Ini kerana kata beliau sejak 2013 Adun Salor tidak menghantar soalan sama ada dalam bentuk bertulis atau lisan.

"Kira-kira empat tahun lalu setelah beliau tidak lagi berada dalam kerajaan negeri, Adun Salor tidak ada soalan bertulis dan mulut.

“Sebaliknya penasihat PAN Kelantan itu mengambil peluang lain yang dianggap mengacau perjalanan persidangan Dun,” katanya pada majlis meraikan 179 pelajar yang akan melanjut pelajaran ke timur tengah di Kota Bharu hari ini.

Turut hadir Adun Gual Periuk Muhammad Awang, Setiausaha Politik, Wan Roslan Wan Hamat dan pegawai Yayasan Islam Kelantan (Yik).  – HARAKAHDAILY 23/3/2017

DATUK Nozula Mat Diah (BN-Paloh) merakam ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob dan timbalannya Datuk Mohd Amar Abdullah kerana menziarahinya ketika terlantar sakit.

Nozula Mat DiahKatanya, beliau begitu terharu di atas kesudian pimpinan kerajaan negeri termasuk wakil-wakil rakyat datang menziarahi beliau.

“Terima kasih banyak di atas kesudian itu dan hari ini saya memohon banyak kemaafan di atas semua kesalahan saya,” katanya ketika membahas titah ucapan Pemangku Raja Kelantan pada persidangan Dun di Kota Bharu petang ini.

Ucapan Nozula yang juga Ketua Pembangkang membuatkan sidang Dun gamat seketika.

Bagaimanapun beliau mempertikai kerajaan negeri tidak meletakkan nama projek kerajaan pusat pada program pembangunan di peringkat pihak berkuasa tempatan PBT.

“Suka hati diaaa jeeeeee,” ujarnya sehingga membuatkan dewan menjadi riuh lagi.

Zaki IbrahimSebelum itu persidangan agak kecoh apabila isu berkaitan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dibangkitkan Mohd Zaki Ibrahim (PAS-Kelaboran).

Beliau mendakwa BR1M digunakan sebagai satu kaedah menganiayai orang miskin bagi menjaga kepentingan politik Umno dan BN.

"Kalau wang BR1M masuk dalam akaun, tidak ada masalah untuk pergi ambil di bank dan tidak berlakulah kejadian yang tidak diingini.

"Tetapi sekarang ada orang tua pengsan ketika menunggu giliran. Ini namanya hendak mengambil kesempatan politik daripada orang susah,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/3/2017