SPLASH: PH 'habiskan' rizab Selangor?

Berita
Typography

PETALING JAYA: Pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) oleh kerajaan negeri yang membeli kepentingan berbayar RM2.5 bilion dilihat penuh keraguan dan bakal memberi kesan negatif.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, bayaran itu adalah 10 kali ganda dari ditawarkan semasa Selangor diterajui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim iaitu hanya RM250 juta.

Aju beliau, perbezaan sekitar RM2.25 bilion itu begitu besar dan boleh dilaksanakan begitu banyak agenda rakyat, selain menimbulkan persoalan pihak yang akan mendapat jumlah sebesar itu.

"Peruntukan RM2.25 bilion ini adalah sebahagian daripada pinjaman Kerajaan Selangor kepada Kerajaan Persekutuan dalam pengstrukturan semula industri air. Pinjaman itu bila dibayar dengan 10 kali ganda, pinjaman itu mungkin akan meningkat.

"Kemungkinan juga syarikat-syarikat konsesi air yang telah terima penyelesaian sebelum ini akan saman semula Kerajaan Selangor. Ini disebabkan kaedah dulu telah ditandatangani dan tidak sama dengan dilakukan terhadap SPLASH.

"Bermakna, Kerajaan Selangor kemungkinan lepas ini akan berbelanja lebih besar. Mungkin tarif air akan meningkat. Ini pun sudah disebut. Mungkin 20 meter tidak lagi percuma," ujarnya memaklumkan pengambilalihan itu setelah PAS tiada lagi dalam Kerajaan Selangor.

Mengulas perkara sama, Tan Sri Abdul Khalid pula berkata, rizab simpanan Selangor sebanyak RM3 bilion boleh menjadi kosong setelah penggunaan oleh Belanjawan defisit RM800 juta dan pembelian SPLASH menggunakan baki RM2.2 bilion itu.

Manakala Naib Presiden PAS, Dato' Iskandar A Samad pula menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak berani untuk berbuat sedemikian semasa PAS masih berada bersama mereka, tetapi kini perkara tidak betul sedemikian berlaku.

Beliau yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor menyatakan, semasa PAS masih dalam kerajaan, urusan SPLASH ditangguh-tangguh dan terus dilaksanakan sebaik PAS tidak ada lagi bersama mereka selepas PRU14.

Sehubungan itu, mereka bertiga senada bahawa Dun Selangor memerlukan suara yang kuat dalam menangani isu-isu sebegini dan menyeru agar PRK N.32 Seri Setia dijadikan signal dengan memenangkan calon PAS, Dr Halimah Ali. - HARAKAHDAILY 5/9/2018