Rakyat mula tunjuk rasa kesal undi PH

Berita
Typography

PETALING JAYA: Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Ahmad Yunus berkata, kes penahanan reman ke atas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tidak akan mempengaruhi pengundi Seri Setia terhadap parti itu.

Katanya, beliau menyerahkan kes itu kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat siasatan secara telus dan adil.

“Saya kira dengan kebijaksanaan pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dapat memberi keputusan yang terbaik.

“PAS sentiasa menekankan dan mengambil berat terhadap integriti,” katanya kepada Harakahdaily semasa ditemui pada majlis ceramah sempen kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Seri Setia, malam tadi.

Menurutnya, pengundi sudah cukup faham apa yang berlaku hari ini dan rakyat lebih fokus membawa mesej untuk memberi kesedaran kepada kerajaan baharu yang mana banyak janji-janji tidak ditunaikan.

Jelasnya, mesej ini bukan sahaja untuk Kerajaan Negeri Selangor tetapi juga untuk kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan.

Bekas Exco Kerajaan Selangor itu menambah, rakyat hari ini sudah mula menunjukkan rasa kesal memberi undi kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Ini, ujarnya kerana kerajaan PH dilihat tidak mampu untuk memberi sebarang perubahan kepada rakyat malah semakin terbeban.

“Janji Pakatan Harapan dalam manifesto sebelum ini hanyalah bersifat retorik semata-mata dan dilihat tidak dapat dilaksanakan,” katanya yang juga Adun Sijangkang. - HARAKAHDAILY 5/9/2018