Penjajahan bentuk baru makin menular

Berita
Typography

PASIR MAS: Ketika usia Malaysia kini mencecah 61 tahun, namun negara berhadapan penjajahan dalam bentuk baru dan halus sehingga mampu menghakis pegangan umat Islam.

Menteri Besar, Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, penularan fahaman serta gerakan yang bertentangan dengan Islam semakin berleluasa.

Menurutnya, suasana itu bertambah buruk apabila media baru dalam era globalisasi tanpa sempadan menyebabkan penyebaran ideologi itu semakin mudah.

"Menjadi kerisauan kepada kita sekarang, penjajahan datang dalam bentuk yang baru dan halus melalui media baru yang sangat mudah sebar.

"Oleh itu kita perlu berpegang teguh dengan al Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup dan bernegara supaya kuasa penjajah tidak mudah bertapak," katanya pada Sambutan Hari Kebangsaan 2018 Peringkat Negeri di Mini Stadium Pasir Mas hari ini.

Turut hadir Speaker Dun Kelantan, Dato' Abdulla Ya'kub, Timbalan Menteri Besar, Dato' Mohd Amar Abdullah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nazran Muhammad, anggota-anggota Exco, wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan negeri serta pusat.

Pelbagai acara diadakan termasuk persembahan tempur tanpa senjata dan nyanyian sempena kemerdekaan. - HARAKAHDAILY 31/8/2018