Judi, arak, maksiat serupa gejala rasuah

Berita
Typography

KOTA BHARU: Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional dan semua pihak sekarang bercakap tidak mahu berkompromi dengan rasuah.

Bagaimanapun gejala serupa masih dibiarkan membelenggu masyarakat iaitu judi, arak dan maksiat tanpa ada pencegahan.

Anggota parlimen Bachok, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, judi, arak dan maksiat juga perkara mungkar yang mesti dibanteras.

Katanya, bukan sekadar rasuah yang perlu diperangi kerajaan PH sekarang, gejala judi, arak dan maksiat juga kena membendungnya.

“Judi, arak dan maksiat diharam dalam Islam kerana ia merosakkan akhlak manusia. Sama juga dengan rasuah.

“Namun sekarang pemimpin bukan Islam hanya bercakap mahu membantas rasuah dan tidak kepada judi, arak dan maksiat yang juga merosakkan manusia,” katanya pada kuliah di Medan Ilmu hari ini.

Menurutnya juga kerajaan menganggap judi dan arak tidak menjadi halangan kerana ada permintaan dan boleh menghasilkan pendapatan negara.

Sedangkan kata Nik Abduh, kesemua gejala itu merosakkan manusia serupa dengan rasuah seperti diperkatakan secara meluas sekarang.

“Sepatutnya mereka mengambil contoh di Kelantan yang mengharamkan judi, tempat maksiat dan mengawal penjualan arak untuk bukan Islam sahaja,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 31/8/2018