RTM batal bual bicara ‘Seminar Islam Liberal’

Berita
Typography

KOTA BHARU: Biarpun dicanangkan suasana Malaysia Baharu lebih terbuka, namun kerajaan Kelantan masih berhalangan bagi menyampaikan mesej kepada rakyat melalui RTM.

Pagi tadi sepatutnya berlangsung rancangan Tetamu Konti di RTM Kelantan dengan mengundangkan Pengarah Seminar Bahaya Islam Liberal, Dato' Dr Johari Mat namun dibatal saat akhir.

Segmen itu dijadual bersiaran secara langsung di Kelantan FM jam 9.30 pagi, dibatal arahan dari Kuala Lumpur.

Seminar Bahaya Islam Liberal anjuran kerajaan negeri akan diadakan 1 September ini di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre, Kota Bharu.

Ia akan bermula jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang.

Seminar itu menghimpunkan 3 kertas kerja bertajuk ‘Bahaya Pemikiran Islam Liberal, ‘LGBT dan Feminisma’ serta ‘Bahaya Pluralisma Dalam Islam’ yang menampilkan pembentang dari Institute for the Study of Islamic Thought & Civilizations (INSISTS) dari Indonesia.

Setiap kertas kerja akan diulas pengulas tempatan dengan mengambil kira senario masa kini ancaman liberalisma di Malaysia termasuk anggota Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan serta Pengerusi Multiracial Reverted Muslim (MRM), Firdaus Wong Wai Hung.

Seminar tersebut akan dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob. Penyertaan percuma dan terbuka kepada orang ramai.

Seminar terbabit diadakan dengan kerjasama Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) dan Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) serta Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (GASMA).

Dr Johari yang juga Pengarah IPTG bagaimanapun berkata, pihak penganjur merakamkan setinggi penghargaan kepada RTM yang memberi kerjasama dan komitmen tinggi bagi menjayakan promosi program berkenaan.

“Bagaimanapun pembatalan siaran langsung yang sepatutnya diadakan hari ini dimaklumkan pihak pengurusan RTM Kelantan petang semalam tanpa dinyatakan alasan,” katanya di sini.

Difahamkan RTM Kelantan menerima arahan pembatalan dari pihak atasan di Kuala Lumpur.

Pada Ahad lepas program berkenaan disiarkan Manis FM melalui slot Manis Sokmo yang dikendalikan DJ Jun Hamid.

Bual bicara itu menampilkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serata, Dr Md Yusnan Yusof. - HARAKAHDAILY 29/8/2018

SH