Orang Asli lega sekatan laluan diroboh

Berita
Typography

GUA MUSANG: Tindakan pihak berkuasa meroboh sekatan laluan pembalakan di Cawas, Kuala Wok dan Kaleg melegakan masyarakat Orang Asli.

Malah mereka sudah bosan dengan tindak tanduk segelintir masyarakat Orang Asli yang didalangi pihak tertentu sehingga menyusahkan banyak pihak.

Us Shuhaimi Mat DerisPenyelia Dun Galas, Ustaz Suhaimi Mat Deris berkata, tindakan segelintir kumpulan Orang Asli yang mengadakan sekatan laluan pembalakan tidak disenangi sebahagian besar masyarakat Orang Asli di Gua Musang.

Katanya, sekatan itu menyebabkan penduduk Orang Asli yang tinggal di beberapa penempatan di laluan tersebut sukar untuk keluar masuk.

“Mereka menganggap tindakan yang didalangi kumpulan yang dinamakan sebagai Jaringan sudah melampau dan tidak ada penghujungnya.

“Malah mereka kembali galak selepas dikunjungi seorang timbalan menteri baru-baru ini. Sepatutnya sebagai menteri beliau sepatutnya berjumpa dengan kerajaan negeri bagi mendapat maklumat sebenar.

“Kehadiran menteri sehingga membawa kumpulan Orang Asli terbabit berjumpa dengan Perdana Menteri dianggap kemuncak kepada perjuangan segelintir pihak berkenaan,” katanya di sini.

Hari ini tiga sekatan yang dibina Orang Asli di Gua Musang diroboh pihak berkuasa membabitkan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Difahamkan tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984. Tahun lepas juga diambil tindakan serupa apabila kumpulan yang membuat sekatan enggan membuka laluan.

Penghulu Jumak Abak dari Kuala Betis juga berkata, tindakan segelintir masyarakat Orang Asli membuat sekatan laluan menyusahkan penduduk, pekerja ladang dan guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Tohoi. - HARAKAHDAILY 27/8/2018