Sukma: Kelantan belum pernah jadi tuan rumah

Berita
Typography

KOTA BHARU: Kelantan satu-satunya negeri di negara ini yang belum pernah menjadi tuan rumah penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) sejak ia diperkenalkan pada 1986.

Bagaimanapun Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentera Kanan Ahmad Yakob tidak menolak untuk Kelantan menjadi tuan rumah pada masa hadapan.

Kata beliau sekiranya ada cadangan, negeri itu bersedia menjadi tuan rumah pada kejohanan sukan dwitahunan tersebut.

"Setakat ini belum lagi menjadi tuan rumah, antara faktornya kita tidak mempunyai kemudahan sukan yang lengkap.

“InsyaAllah pada masa hadapan kita boleh fikirkan sekiranya Kelantan dicalonkan menjadi tuan rumah Sukma dengan mendapat kerjasama kerajaan pusat,” ujarnya selepas majlis Penyampaian Watikah Jemputan Rasmi bagi menyertai Sukma XIX Perak di JKR 10 semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan Setiausaha Kerajaan Perak, Dato’ Mohd Gazali Jalal.

Turut hadir Pengarah PTG Kelantan yang juga ketua kontinjen Kelantan pada kejohanan itu, Dato’ Zamri Ismail. - HARAKAHDAILY 27/8/2018