Janji 100 hari hanya helah PH

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata janji 100 hari pemerintahan Pakatan Harapan (PH) hanya helah daripada kerajaan semata-mata agar rakyat lalai dan alpa.

Beliau yang memuatnaik status dalam siri Teh Halia Tarik (17) dalam akaun facebook miliknya hari ini menegaskan kerajaan yang baik ialah kerajaan yang mahukan rakyatnya sentiasa prihatin, cakna dan celik dalam politik.

"Kamu sendiri pun setiap hari makan politik, tidur politik, main politik malah jamban pun hancing politik.

"Apa sebab kamu meremehkan 100 hari? 100 hari bukan untuk semata-mata menghentam! Bahkan ia juga untuk pujian dan sokongan," tulisnya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini pernah berkata tempoh lima tahun tidak cukup untuk memperbaiki kerosakan yang ditinggalkan oleh pemerintahan BN.

Malah, timbalannya, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula berkata PH tidak perlu minta maaf di atas kegagalan menunaikan janji yang terkandung di dalam manifesto Harapan.

"Bukankah kamu amat berbangga dalam 100 hari berjaya mansuhkan GST dan tangkap ‘The Aquanimity’ lalu menagih pujian segera daripada rakyat?"

"Teruskan menilai dan memutuskan hari ini untuk hari ini. Hari esok belum pun hadir untuk dinilai. Jika kita leka dan lalai hari ini, esok belum tentu kita boleh segera sedar dan jaga.

“Kesedaran dipupuk lama. Ia bukan boleh hadir seperti membuat kejutan hutang negara berjumalah 1 trilion,” tambah Nik Abduh.

Beliau turut memetik maksud ayat al-Quran: "Katakanlah, tunggulah (kamu semua). Sesungguhnya aku juga bersama-sama kamu termasuk daripada kalangan mereka yang menunggu".

"Begitulah Allah mencabar mereka yang lalai dan leka daripada mengingati kedatangan hari akhirat. Kelalaian adalah apabila anda asyik memandang rendah dan remeh apa yang anda lihat di hadapan mata hari ini," tulisnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/8/2018