100 Hari 10 Janji hanyalah bohong besar

Berita
Typography

BESUT: Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dato' Ustaz Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menyifatkan manifesto 100 hari PH adalah satu pembohongan besar kepada rakyat.

Katanya, rakyat Malaysia sangat berduka cita apabila 10 janji gabungan itu pada PRU14 lalu tidak dilaksanakan setelah mereka memenangi dan melepasi tempoh 100 hari dijanjikan.

“Apa yang berlaku ini sangat menyedihkan kita. Justeru rakyat perlu sedar dan perlu berhati-hati dengan sebuah kerajaan yang sanggup menabur janji, tetapi mereka tidak mampu melaksanakannya.

“Bukan sekadar itu sahaja, Kerajaan PH telah memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus,” ujarnya sebagaimana dilapor Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kompleks Pendidikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (KODIM) Kampung Tok Has, dekat sini pada kelmarin.

Beliau mendakwa, PH menggambarkan SST lebih baik berbanding Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tetapi hakikatnya SST lebih parah daripada GST.

“Kerana cukai GST yang dilaksanakan sebelum ini hanya dikenakan 6 peratus sahaja, tetapi SST ialah 10 peratus.

“Kita mengharapkan rakyat memahami dan menyedari bahawa sistem cukai SST ini tidak rasional untuk dilaksanakan di negara kita,” jelas beliau.

Disamping itu katanya, janji untuk menghapuskan tol, menurunkan harga minyak dan banyak lagi yang lain juga gagal dilaksanakan Kerajaan PH.

Justeru itu, beliau menggesa rakyat agar menolak Kerajaan PH dalam PRU yang akan datang kerana sangat tidak rasional dalam perancangan dan tindakan.

“Jika diizinkan PAS memerintah Malaysia, in shaa Allah kita dapat laksanakan perkara yang jauh lebih daripada apa dijanjikan oleh Kerajaan PH.

“Pembohongan janji-janji ini memberi kesan yang sangat besar kepada pelabur-pelabur asing dan rakyat Malaysia apabila ekonomi negara kita pada masa kini terumbang-ambing dan tidak menentu,” tambah beliau lagi. -HARAKAHDAILY 27/8/2018