Sumbang RUSUK untuk mangsa gempa Lombok

Berita
Typography
KUALA LUMPUR: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) akan menggerakkan misi lanjutan bagi membantu umat Islam mangsa gempa bumi di Lombok, Indonesia, hujung September depan.
 
Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, misi berikutnya akan memfokuskan sumbangan peralatan dan projek pembinaan 'Rumah Sementara Untuk Kemanusiaan' (RUSUK).
 
Terang beliau, kos anggaran bagi RUSUK yang dibina daripada buluh dan kanvas itu adalah dalam Rp2 juta (anggaran RM600) untuk didiami bagi satu keluarga.
 
Menurutnya, RUSUK akan dibina di tapak yang ditentukan sendiri mangsa sementara mereka dapat memunggah keluar sisa runtuhan sebelum dapat membina kembali rumah kekal.
 
"PASRelief merayu sumbangan seluruh rakyat Malaysia terutama kewangan bagi membantu usaha ini menjadi kediaman puluhan ribu keluarga saudara kita di seluruh pulau Nusa Tenggara Barat (NTB) ini.
 
"Sumbangan juga diperlukan untuk membeli beras dan makanan harian yang akan disumbangkan pula ke ratusan dapur umum mengikut Pusat Komando (POSKO) atau Bilik Gerakan di setiap desa dan dusun.
 
"PASRelief juga merancang membangunkan sekolah sementara untuk anak-anak mangsa gempa bumi yang memerlukan peralatan dan alat tulis," ujar beliau.
 
PASRelief sebelum ini telah melaksanakan misi awal tinjauan dan bantuan kemanusiaan berupa sumbangan beras, pek makanan dan RUSUK bernilai Rp110 juta pada 17 hingga 21 Ogos lalu.
 
Segala sumbangan kewangan boleh terus dilakukan ke akaun Maybank 5640 7061 1352 (Tabung Kemanusiaan Antarabangsa) atau 5640 7061 2333 (PASRelief).
 
Sebarang maklumat lanjut dan pertanyaan boleh hubungi 012-596 9220 (Sanusi), 013-384 5555 (Adram Musa), 012-239 6867 (Yunus), 019-571 0933 (Ustaz Norazli) dan 019-264 4740 (Dr Rosni). -HARAKAHDAILY 26/8/2018