Penduduk lega, Unit Amal bersih sampah

Berita
Typography

PETALING JAYA: Penghuni flat PPR 2 Lembah Subang kini mampu menarik nafas lega apabila masalah bau busuk yang dialami mereka sejak awal bulan ini sudah diselesaikan.

Ini berikutan tindakan pantas Unit Amal PAS dari Jabatan Amal PAS Selangor hari ini bertindak turun padang melakukan kerja pembersihan sampah terbiar di kawasan perumahan tersebut.

Penduduk dikatakan menderita bau busuk berkenaan berpunca daripada longgokan sampah di tepi jalan utama kawasan flat tersebut.

Unit Amal yang juga dikenali tentera merah dan terkenal dengan kerja-kerja sukarela serta ringan melakukan kerja kebajikan ini bagaimanapun bertindak pantas turun seawal petang tadi di kawasan perumahan tersebut bagi melakukan kerja-kerja pembersihan.

Sebelum ini tular di media sosial sekeping gambar kenderaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Dun Seri Setia dari Pakatan Harapan, Halimey Abu Bakar yang datang berkunjung ke kawasan perumahan terbabit dan melalui kawasan longgokan sampah tersebut.

Meskipun Halimey yang juga bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah berkunjung ke kawasan tersebut masalah longgokan sampah dan bau busuk itu tetap berlarutan dan tiada sebarang tindakan diambil sehinggalah calon PAS, Dr Halimah Ali turun meninjau kawasan tersebut dan menerima aduan daripada penduduk.

Prihatin dengan masalah itu anggota Unit Amal dengan pantas menggalas tanggungjawab membantu membersihkan longgokan sampah tersebut. – HARAKAHDAILY 25/8/2018

am1

am2

am3

am4

am5

am6