K'jaan PH Kedah mahu gugur lot Bumiputera

Berita
Typography

SIK: Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membidas Kerajaan PH Kedah yang bercadang menggugurkan status lot Bumiputera untuk kediaman dan komersil di negeri ini.

Menurut beliau, Kerajaan PAS Kedah pada tahun 2008-2013 sangat sedar bahawa ada banyak unit bangunan kediaman dan komersil di lot Bumiputera yang dibangunkan di Kedah, tidak mampu dibeli oleh orang Melayu.

Ini kerana jelas beliau, harganya terlalu mahal ataupun lokasi lot-lot tersebut kurang sesuai seperti contoh lot yang dikhususkan sebagai kuota Bumiputera terperosok di lorong belakang, mengadap tebing, tepi lereng dan seumpamanya.

"Pun begitu, kerajaan tetap memperkenalkan polisi 50-50 berbeza daripada 30-70 kuota Bumiputera bagi kediaman dan lot komersil yang dibangunkan di atas Tanah Rizab Melayu (TRM) yang ditukar dengan TRM di tempat lain.

"Alasan utama kerajaan ialah memastikan pemilikan hartanah yang seimbang antara kaum di sesuatu kawasan kerana ianya penting untuk integrasi nasional. Alasan lain ialah sesuatu TRM yang ditukar tidak boleh kehilangan milikan Melayu sehingga 70 peratus.

"Kerana tanah ganti dalam proses pertukaran tidak lagi berada di lokasi strategik dan nilainya jauh lebih rendah dan ini membuatkan kerajaan mesti mengelak daripada membenarkan pola kependudukan dan pemilikan hartanah memisahkan rakyat negeri ini berasaskan kaum," jelasnya yang juga Adun Jeneri.

Lanjut beliau, pemaju dan pejuang kaum sering memberi alasan orang Melayu Bumiputera sudah memiliki tanah di kampung yang luas, berstatus TRM, maka bukan bumiputera mesti diberi hak dan peluang lebih banyak untuk membeli lot kediaman dan komersil di bandar.

"Tetapi mereka lupa tanah TRM di kampung berstatus pertanian, kawasan penghasilan makanan dan komoditi pertanian, serta terikat kepada syarat kegunaan tanah berdasarkan Kanun Tanah Negara (KTN) dan hanya satu perlima sahaja tanah bersyarat pertanian dibenarkan untuk dibina bangunan.

"Jumlah penduduk berasaskan kaum juga perlu diambil kira kerana kaum Melayu mewakili 75 peratus penduduk Kedah, tidak termasuk orang Siam yang menerima status Bumiputera. Maka polisi 50-50 jelas mewakili komposisi populasi rakyat Kedah.

"Pemaju mesti mematuhi polisi kerajaan, bukan kerajaan menjadi alat kepada pemaju kerana polisi 50-50 adalah pendorong proses pembangunan sesuatu kawasan baru, dan ianya mesti mengambil kira keupayaan kuasa beli penduduk negeri Kedah.

"Jangan hanya fikirkan keuntungan semata-mata, tetapi dalam masa yang sama membentuk senario yang mengekang dan menghalang dasar perpaduan dan intergrasi nasional.

Terang beliau lagi, polisi 50-50 dibantah Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (REHDA), DAP, MCA, komponen BN dan pertubuhan-pertubuhan yang mewakili kaum Cina yang lain.

Namun PKR pula katanya, hanya berdiam diri, walaupun secara tidak terbuka turut menggesa Almarhun Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak mengkaji semula polisi tersebut.

"Untuk rekod, selepas PRU13, Kerajaan BN pimpinan Dato' Seri Mukhriz Mahathir menghapuskan polisi 50-50 dan mengembalikan semula polisi lama, termasuk membenarkan pembangunan di atas tanah sawah padi.

"Kini kerajaan PH pula cuba membuka satu lagi 'pintu kekuasaan dan kekayaan' kepada pemaju dan bukan bumiputera di negeri ini, hanya akan menyebabkan mereka berseronok memalu gendang raya dan tarian naga.

"Gemok montellah mereka berbanding Melayu yang masih rendah kuasa beli akan kekal terperosok di kampung dan pinggir hutan dan akan menyebabkan jurang pemisah antara kaum makin melebar serta penguasaan lokasi strategik berasaskan kaum pun hampir sempurna," sinis beliau.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Kedah, Tan Kok Yew berkata Kerajaan PH negeri Kedah bercadang untuk menggugurkan status lot bumiputera di negeri ini.

Katanya, sebuah jawatankuasa khas bagi mempertimbangkan cadangan menggugurkan status lot bumiputera bagi lebih 1,000 unit kediaman dan komersil yang gagal dijual dalam tempoh sejak 10 tahun lalu akan ditubuhkan.

Sanusi yang juga merupakan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah menambah, jika tindakan mempersoalkan langkah terbaru Kerajaan PH ini akan menyebabkan beliau dituduh anti perniagaan dan rasis, maka beliau bersiap sedia untuk menerimanya. - HARAKAHDAILY 24/8/2018