Perlu pembangkang untuk ‘semak imbang’

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Perlu ada individu wakil rakyat pembangkang sebagai 'check and balance' dalam kerajaan bagi menyampaikan suara keseluruhan rakyat bertujuan mewujudkan pentadbiran kerajaan negeri khususnya di Selangor ke arah lebih berwibawa dan penuh integriti agar keyakinan rakyat tidak berbelah bahagi kepada kerajaan yang dipilih.

Menurut calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) N.32 Seri Setia, Dr Halimah Ali, daripada suara-suara wakil rakyat pembangkang yang sering membawa isu rakyat akan berperanan sebagai pendesak dan suara tekanan kepada kerajaan supaya sentiasa beri perhatian terhadap keselesaan dan kebajikan rakyat di Selangor.

"Pengalaman saya yang lalu yang telah saya buat, saya wujudkan 'task force' untuk saya tangani gejala sosial, saya wujudkan 'task force' denggi, saya wujudkan 'task force' untuk infrastruktur inilah isu-isu yang agak lebih kurang sama dan sebagainya.

"Jadi, segala jabatan dan agensi yang berkenaan selain daripada pimpinan masyarakat, di sini ahli masjlis perbandaran, persatuan penduduk dan sebagainya, NGO-NGO juga perlu digembelengkan supaya rakyat terbela dan menikmati hak sama rata," katanya kepada Harakah sewaktu turun berkempen di Flat Desa Mentari di sini, semalam.

Ujarnya lagi, lawannya Halimey Abu Bakar daripada Pakatan Harapan sekurang-kurangnya tidak perlu terus berjanji kerana parti kerajaan itu telah memegang tampuk pemerintahan di peringkat pusat secara keseluruhan termasuk di Negeri Selangor.

"Mereka (kerajaan Pakatan Harapan) dah pegang tampuk pemerintahan dan telah memiliki kuasa sepenuhnya dalam kerajaan, jadi apa perlu tunggu lagi. Mereka boleh laksanakan pelbagai kemudahan kepada rakyat namun mengapa keadaan rakyat khususnya di Dun Seri Setia masih sama.

"OKlah, bila dia cakap nak perjuangkan rakyat pada saya, dia (Halimey) tak ada pun kalau tak menang (PRK N32) pun sekurang-kurangnya menteri besarnya dari parti yang sama boleh buat apa yang Halimey nak perjuangkan, tetapi kenapa sekarang tak boleh buat? Dia dah ada kuasa, menteri KPT pun dari parti yang sama, boleh buat, tidak perlu tunggu dia (Halimey) menang.

"Pada saya berbeza dengan pendirian kami sebagai pembangkang yang menjadi semak dan imbang di kerajaan Selangor, saya boleh bangkitkan sehingga diorang (kerajaan) boleh buat. Itu bezanya dan kelainan saya semasa menjadi suara pembangkang dalam kerajaan Selangor pada penggal lalu," katanya.

Jelasnya, itulah tujuan kenapa perlu ada 'check and balance' dari pihak pembangkang dalam kerajaan Selangor yang berperanan menegur kerajaan khasnya apabila melibatkan isu rakyat. – HARAKAHDAILY 23/8/2018