Sepatutnya kerajaan bawa usul pindaan 355

Berita
Typography

USUL pindaan Akta Mahkamah Syariah 1965 (Akta 355) sepatutnya sudah lama dibawa kerajaan seperti dilakukan pada 1984.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata pindaan akta itu yang dilakukan di parlimen sebelum ini dibawa kerajaan.

“Sepatutnya kerajaan yang bawa seperti dilakukan pada 1984 di mana ketika itu tidak ada anggota parlimen bukan Islam yang menentang.

“Sekiranya kerajaan yang bawa, kelab penyokong BN pun akan menyokong sama dan ia tentunya lebih memudahkan,” katanya ditemui pemberita pada ceramah di Kampung Cherang di Kota Bharu malam tadi.

Hadir sama Ketua Penerangan PAS Kelantan Datuk Nassurudin Daud, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat Dr Zuhdi Marzuki, Pemangku Yang Dipertua PAS Kota Bharu Dr Rosli Alani Abdul Kadir, Ketua Muslimat Rohani Ibrahim dan Adun Bunut Payong Datuk Dr Ramli Mamat.

Orang orang memenuhi tempat ceramah, tidak jauh daripada lokasi ceramah anjuran PAN yang mengundang Penasihat PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lepas.

Usul persendirian pindaan Akta 355 berkaitan Bidang Kuasa Jenayah sebelum ini dua kali dibawa anggota parlimen Marang Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Cadangan pindaan itu dibuat bertujuan meningkatkan hukuman maksimum di mahkamah syariah kepada penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

Sekarang mahkamah syariah hanya mempunyai bidang kuasa menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata, sehingga sekarang PAS belum lagi melihat draf pindaan Akta 355 yang dicadang dibawa kerajaan. – HARAKAHDAILY 23/3/2017

Cherang 3