Janji Dr Halimah bersama rakyat Seri Setia

Berita
Typography

KENAPA satu lagi suara wakil rakyat daripada pembangkang perlu ada dalam sidang Dewan Negeri Selangor. Saya punya tema ‘Stand by me, i will stand up for you’. Saya akan bawa suara rakyat di sidang dewan berkaitan apa-apa sahaja isu. Ikuti wawancara calon PRK Dun Seri Setia, DR HALIMAH ALI bersama Pengarang Harakah, SAIDAH HAIRAN dan Wartawan, NORAZIHA ABDULLAH.

HARAKAH: Tahniah diucapkan kepada Dr Halimah kerana terpilih sebagai calon Dun Seri Setia. Ini satu tanggungjawab yang besar. Boleh jelaskan, adakah Dr sudah menyangka akan dicalonkan untuk Dun Seri Setia?

DR HALIMAH: Sebenarnya saya dan kepimpinan Amal akan mengadakan korban di Kampung Cha, Vietnam. Apabila PAS Selangor dan PAS Pusat mengatakan nama saya dalam senarai dan saya dah nyatakan yang saya bersedia untuk menyambut hari raya korban di sana. Oleh sebab arahan daripada parti, saya ikut arahan itu.

Bagaimana persediaan Dr ketika mendapat tahu menjadi calon di PRK Dun Seri Setia, dalam keadaan kerajaan baharu, PH?

Untuk menghadapi satu tempat yang baharu dan oleh kerana ini adalah mandat kepercayaan yang diberikan oleh pimpinan tertinggi daripada Majlis Syura Ulamak sampai ke PAS Pusat. Bukan sahaja PAS tetapi mereka yang baharu tersedar dengan terikut-ikut satu gelombang untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib dan BN serta janji-janji yang begitu menarik khususnya bagi orang muda dengan janji 1 juta pekerjaan, PTPTN akan dimansuhkan, GST dihapuskan dan merasakan kualiti hidup semakin berkurang apabila GST dimansuhkan. Saya rasa terbeban bukan sahaja untuk PAS tapi juga untuk orang yang bersama dengan pembangkang bahkan penyokong-penyokong dan juga pengundi Pakatan Harapan itu sendiri.

Ini merupakan tempat baharu bagi Dr kerana sebelum ini di Selat Klang, apakah isu yang boleh dibawa untuk menarik pengundi di Seri Setia ini?

Dun Seri Setia ini baharu melalui proses persempadanan semula dan ia melibatkan beberapa kawasan dimasukkan dalam Dun Seri Setia. Saya sebelum ini Exco kerajaan Selangor dan terdapat legasi yang saya tinggalkan di Dun Seri Setia antaranya ‘one stop gent center’. Antara sebab kenapa saya dahulu pilih untuk mewujudkan ‘one stop gent center’ adalah salah satu cara untuk menangani masalah sosial. Ini kerana kita telah dapati isu-isu gejala sosial agak banyak di kawasan Desa Mentari serta masalah sosial ekonomi yang rendah, tekanan dan dapat juga dilihat tempat letak kereta yang sangat tidak sistematik. Isu-isu wanita bagaimana Dr...? Mungkin yang menarik isu wanita tentang caruman KWSP daripada suami untuk surirumah, yang telah dikemukan oleh kerajaan dalam sistem yang baharu. Sesungguhnya ia hanyalah sebahagian sahaja. Isu wanita di Seri Setia ini yang mana kos sara hidup yang amat tinggi dan persekitaran yang tidak kondusif boleh membebankan dan ia perlu dilihat secara holistik dan perlu diambil perhatian.

Apakah disebabkan faktor ini Dr dipilih menjadi calon di Seri Setia?

Kemungkinan, selain sebab saya dahulu selaku Exco Pendidikan jadi saya berkesempatan melawat sekolah-sekolah. Dan dibawah saya dahulu adanya Skim Tunas, Skim Bantuan Tadika. Ramai di antara mereka ini layak untuk mendapat Skim Tunas begitu juga keperluan lain.

Mungkin ada janji atau manifesto khusus yang Dr akan tawarkan untuk penduduk di Dun Seri Setia ini?

Tawaran saya mudah dan sesuai untuk semua, sama ada penyokong PAS, Umno dan penyokong Pakatan Harapan. Untuk menjadi kerajaan yang sentiasa tertegak di atas landasan yang betul, ia memerlukan sistem pertimbangan yang efektif. Walau apapun ditawarkan baik mana pun kerajaan Pakatan Harapan yang ada di sini perlu ada orang menegur dan berani menegur serta orang yang akan melihat, meneliti perjalanan sistem pentadbiran yang dikatakan kerajaan yang bagus dan adil. Oleh itu, kita mahu melihat kerajaan yang bagus dan adil yang tiada korupsi serta berat sebelah sepertimana yang dibantah dan dilawan sebelum ini oleh mereka yang ada dalam Pakatan Harapan sekarang ini. Ini kerana tawaran inilah kenapa satu lagi suara wakil rakyat daripada pembangkang perlu ada dalam sidang dewan. Saya punya tema ‘stand by me, i will stand up for you’ dan saya akan menggangkat suara anda di sidang dewan berkaitan apa-apa isu. Oleh itu, pengundi perlu bersama- sama menyokong supaya ada suara pembangkang yang kuat.

Kalau dilihat kepada PRU ke 14, Umno mendapat 9,878 undi; PAS 4,563 undi manakala PH 29,250 undi. Jadi, mungkin ada suara dari hati Dr, bagaimana untuk menarik pengundi Umno dan PH?

Pertama saya mengucapkan tahniah kepada pemimpin Umno yang sekarang ini sedar bahawa mereka perlu bersama-sama bergabung tenaga dan suara untuk memastikan pembangkang kuat. Umno sekarang adalah pembangkang. Kalau ada daripada pihak Pakatan Harapan mengatakan PAS telah berkawan atau berkahwin dengan Umno, itu yang mereka tohmahkan sebelum PRU-14, sebenarnya ini adalah gabungan pembangkang. Keduanya, pimpinan Umno juga telah mengatakan mereka akan memastikan pimpinanpimpinan dan ahli-ahli Umno membantu memberi kemenangan kepada PAS. Saya mengharapkan ahli Umno sudah pasti melihat apa yang berlaku sekarang ini.

Dr, apabila PAS meletakkan calon di Dun Seri Setia, mungkin PH akan memainkan semula isu 90 juta, PAS akan bergabung dengan Umno. Bagaimana pandangan Dr?

Pas ini pertamanya mentarbiyahkan ahli, mendidik ahli berkorban untuk parti. Kalau kita ada RM90 juta, kita tidak perlu minta daripada ahli. Ahli PAS, walaupun dalam kerajaan sekalipun, mereka tetap juga mengeluarkan dari poket sendiri. RM90 juta adalah mainan politik dan propaganda untuk memastikan pengundi tidak mengundi PAS, sedangkan itu tidak benar. Yang keduanya, mengatakan PAS bergabung dengan Umno. Sebenarnya, PAS tidak bergabung dengan Umno seperti juga BERSATU bukan bergabung dengan PKR, mereka entiti yang berbeza, tetapi mereka sebenarnya bergabung dalam Pakatan. PAS dengan Umno tidak pun bergabung seperti itu. Kita hanyalah blok pembangkang yang sama-sama membangkang. Kita tidak berdolak-dalik lebih-lebih lagi PAS adalah parti yang tertegak di atas prinsip. Apa yang baik PAS telah jelaskan siapa sahaja yang berbuat baik, bermatlamat yang sama, kita mengalu-alukan untuk bersama.