Suara semak imbang elak 'kelentongkrasi'

Berita
Typography

PETALING JAYA: Sebagus mana pun kerajaan di dunia ini, terbukti ia tetap memerlukan satu suara pemantau yang kuat untuk mempastikannya tidak tergelincir daripada landasan perjuangan sebenar.

Calon PAS PRK N.32 Dun Seri Setia, Dr Halimah Ali berkata, suara yang cukup kuat di sidang Dun Selangor perlu untuk memastikan Kerajaan PH sedia ada tidak menyalahgunakan kuasa.

"Tidak menghabiskan wang ringgit yang ada. Selangor adalah negeri paling maju paling kaya di Malaysia. Ya kita paling maju paling kaya. Tetapi kalau kita tidak jaga dengan baik dan tak ada orang yang memantau dengan berkesan, tak lama, ia mungkin boleh habis.

"Minta maaf kepada rakan-rakan Umno-BN. Mungkin itu yang berlaku 60 tahun BN memerintah Malaysia. Tidak ada kuat suara yang berani nak menegur, maka sebab itulah berlaku apa yang telah berlaku," ujarnya di PPRT Lembah Subang, di sini semalam.

Jelas beliau, suara di Dun penting dalam mewakili rakyat kerana setiap butiran akan diambil perhatian dan tindakan melibatkan pelbagai pihak, agensi atau jabatan berkaitan.

Malah terangnya, suara yang kuat juga penting dalam melakukan semak dan imbang terhadap setiap perkara diperkatakan parti politik agar benar-benar dilaksanakan.

"Sesuai dengan apa yang disebut dilaungkan oleh "Malaysia Baru", "Reformasi" yang dilaungkan oleh PKR. Maka sudah tentulah untuk pasti mereka ini berkata cakap serupa bikin, bikin serupa cakap.

"Maknanya kalau mereka pedulikan rakyat, mereka yang harus mempunyai satu 'check and balance' yang mengimbangi apa sahaja yang mereka lakukan, segala yang mereka rancang dan tindakan-tindakan yang melakukan, dan janji-janji yang telah ditaburkan.

"Adakah bila kami bersama dengan Umno-BN, saya menyokong kleptokrasi? Tidak! Segala yang tidak betul kita tidak akan sokong. Tetapi juga, saya tidak menyokong kelentongkrasi, itu tak ada dalam kamus lagi. Ini kita baru di sini ya.

"Kalau kita yang kelentongkrasi, kita memang tidak sokong," tegasnya yang turut menyeru undi para penduduk Dun Seri Setia pada ceramah disampaikannya itu. - HARAKAHDAILY 20/8/2018