Dun Selangor perlu pembangkang kuat

Berita
Typography

PETALING JAYA: Rakyat Selangor memerlukan suara pembangkang yang kuat pada persidangan Dewan Undangan Negeri untuk memastikan Pakatan Harapan tidak menyalah guna kuasa, kata calon PAS pada PRK Dun Seri Setia, Dr Halimah Ali.

“Mungkin itu yang berlaku semasa 60 tahun BN memerintah Malaysia, tidak ada suara yang berani menegur,” ujarnya dalam ceramah Umum PRK Dun Seri Setia di Lembah Subang, malam tadi.

Tegasnya, Pakatan Harapan hari ini harus mempunyai check and balance bagi mengimbangi setiap yang dilakukan dan janji-janji yang ditaburkan.

Beliau yang pernah memegang jawatan Exco Kerajaan Selangor, telah mewujudkan satu jawatan kuasa induk untuk menangani gejala sosial yang dinamakan Generasi Idaman Selangor.

Turut berucap pada ceramah umum tersebut ialah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS, Dr Rosni Adam, Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman dan Pengerusi DHPP Selangor, Dato’ Deepakaran. – HARAKAHDAILY 20/8/2018