Alukan kerjasama dalam, tolak bantuan asing

Berita
Typography
PETALING JAYA: Rakyat diminta membuat perhitungan melalui PRK N.32 Dun Seri Setia yang walaupun disebut kecil namun mempunyai makna yang besar.
 
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru supaya memilih wakil yang mampu berhujah dan dapat menyampaikan mesej rakyat.
 
"Walaupun kita tahu kemenangan tidak boleh menubuhkan kerajaan, jadi pembangkang sahaja, (tetapi) pembangkang yang menasihat. Pembangkang yang berani dan tegas. 
 
"Maka PAS mengalu-alukan pertolongan daripada semua pihak termasuk daripada parti Umno, rakan yang sanggup membantu kita. Bahkan (dari) parti lain dalam PH yang (mahu) menukar pendirian. 
 
"Apa yang penting PAS mahu bantuan daripada dalam negeri, bukan makhluk asing. Ada parti yang menang dengan bantuan makhluk asing, bantuan dari luar, untuk menang tanpa peduli keselamatan negara. 
 
"Dalam hal ini, kita harap rakyat boleh berfikir dengan matang, dengan bijak. Undi adalah perkara yang besar bukan boleh dijual beli. 
 
"Kerana maknanya lima tahun yang akan datang atau empat tahun yang akan datang. Sekurang-kurangnya kita memilih wakil yang bercakap bagi pihak kita," seru beliau semasa Majlis Pengisytiharan Calon PAS PRK N.32 Dun Seri Setia di Desa Mentari, di sini sebentar tadi.
 
Nasihat beliau, bagi umat Islam, memilih wakil rakyat adalah memilih pemimpin bagi kawasannya untuk mewakili ke Dewan Negeri mengikut amalan demokrasi berparlimen. 
 
Jelas beliau, bagi orang Islam betapa besarnya memilih pemimpin rakyat ini sehingga mereka menganggap lebih penting daripada mengebumikan jasad Nabi S.A.W ketika wafatnya. 
 
Urusan tersebut jelasnya, menggambarkan urusan memilih pemimpin tidak boleh secara sewenang-wenangnya atau sebagai remeh-temeh untuk untuk melepas geram dan membuat keputusan mudah semata-mata terpengaruh dengan media sosial yang tidak diketahui benar dan salahnya. 
 
"Apalagi nak diluluskan akta boleh menyiarkan berita bohong, untuk melakukan apa sahaja menyebabkan kita salah memilih pemimpin. Kita saksikan contoh kegelabahan PH yang menang pilihan raya, menyelesaikan masalah rakyat. 
 
"Contohnya menghapuskan GST tukar kepada SST. SST yang ditinggalkan oleh kerajaan yang dulu kerana gagal menampung kewangan kerajaan kerana tidak boleh menghambat mereka yang melarikan cukai. Ini SST, ditukar kepada GST untuk memintas cukai itu. Menambahkan hasil. 
 
"Tetapi kesilapannya tidak boleh mengawal inflasi, kenaikan harga barangan oleh GST. Menyebabkan kita mempunyai satu pandangan yang lain. Membebankan semua rakyat, pusing ke belakang, kepada SST yang juga pernah membebankan rakyat dan kerajaan. 
 
"Mereka tidak menumpukan kepada mengkaji satu sistem cukai yang lebih baik. Membuat janji-janji yang tak boleh ditunaikan. Nak turunkan harga minyak serta merta, nak hapuskan tol serta merta. Banyak janji-janjinya. 
 
"Ada yang kata manifesto bukan kitab suci, tapi kitab suci mewajibkan tunai janji. Ini hal yang perlu disedar oleh kita semua," peringatnya. -HARAKAHDAILY 15/8/2018