Manifesto PH sekadar janji tanpa kajian

Berita
Typography

KOTA BHARU: Pakatan Harapan (PH) dianggap tidak membuat kajian sebelum membentang tawaran dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sehingga ia gagal dilaksanakan.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, manifesto berkenaan dirangka oleh jawatankuasa khas yang disifatkan tidak berpengalaman.

“Ini kerana mereka gagal memenuhi manifesto yang ditawarkan kepada rakyat dalam tempoh 100 hari seperti dijanjikan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Mohd Amar berkata, antara yang gagal dilaksanakan dalam tempoh 100 hari iaitu penghapusan tol, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menurunkan harga petrol.

Menurutnya tiga janji tersebut antara yang ditunggu rakyat sehingga sekarang.

“Jawatankuasa manifesto PH hanya merangka janji tanpa kajian dan maklumat yang jelas.

“Bukan mudah merangka manifesto dan tidak senang untuk melaksanakan janji kerana dalam kerajaan ada prosedur dan peraturan yang perlu diambil kira,” tambahnya. - HARAKAHDAILY 15/8/2018