Jangan batal projek perumahan rakyat

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS berharap kerajaan baharu tidak membatalkan projek perumahan mampu milik yang telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini demi merealisasikan hasrat rakyat untuk memiliki rumah kediaman (PRIMA).

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat petang ini, Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) menyentuh projek perumahan PRIMA di kawasan parlimennya yang telah dijanjikan pada pertengahan tahun 2017 di Kampung Sungai Bari melibatkan kos RM90 juta untuk sejumlah RM600 buah unit rumah yang dijanjikan siap pada tahun 2019.

Namun, ujarnya sehingga ke hari ini projek tersebut masih belum terlaksana.

Ulasnya, Setiu merupakan daerah di Terengganu yang terbelakang berbanding daerah lain dan memiliki populasi penduduk yang tidak ramai.

"Disebabkan tak banyaknya projek perumahan yang dibina di Setiu dan ada di kalangan pegawai ataupun staf khususnya para guru menetap di luar Setiu dan berulang-alik ke pejabat atau sekolah masing-masing.

"Jadi saya berminat nak tahu tentang masa depan projek PRIMA yang pernah dijanjikan pertengahan tahun 2017 di Kampung Sungai Bari Linggi yang melibatkan kos sebanyak RM90 juta dan sejumlah 600 buah unit yang akan dibina dan dijangka siap pada tahun 2019 tapi sehingga hari ini belum nampak bayang projek ini dilaksanakan.

"Jadi saya harapkan dengan peruntukan bajet sebanyak RM375 juta ini satu bajet yang agak besar, saya harap kerajaan baharu tidak membatalkan projek ini malah teruskan demi merealisasikan hasrat penduduk di kawasan Setiu," katanya.

Isu sama juga dikemukakan oleh Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) di kawasan parlimennya apabila projek perumahan tidak diteruskan disebabkan timbulnya isu syarikat PRIMA tidak bayar membayar tuntutan.

"Jadi soalan yang ingin saya kemukakan iaiah apakah perancangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memastikan projek yang telah diluluskan kerana sebahagian telah pun ada pihak pembeli yang telah pun tandatangani untuk membeli daripada syarikat ini.

"Jadi sudah pasti perlu ada tindakan sebaiknya. Janganlah alasan semua projek yang telah dibekukan atas alasan tidak ada duit ataupun kantung negara yang kosong menyebabkan projek-projek yang telah pun diluluskan sebelum ini untuk kepentingan rakyat dibekukan," katanya. – HARAKAHDAILY 15/8/2018