Penoreh getah, pekebun kecil sangat teruk

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan bercadang menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion kepada kira-kira 600,000 pekebun kecil di seluruh negara disifatkan PAS sebagai amaun yang terlalu kecil sedangkan negara dianggarkan memiliki pendapatan negara sejumlah RM200 bilion setahun.

Justeru, Awang Solehudin Hashim (PAS-Pendang) mahu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menilai kembali cadangan tersebut memandangkan pendapatan pekebun kecil getah semakin merosot dengan harga lantai getah berada di paras RM1.80 sehingga RM2 sekilogram.

"Saya nak menyentuh berkenaan dengan penoreh getah pekebun kecil sangat teruk keadaan mereka kerana pendapatan mereka yang merosot harga yang rendah jadi di sini kita tengok jawapan oleh menteri kepada saya pada minggu lepas.

"(Menyatakan) sekiranya harga lantai diletakkan RM3 paling kurang kerajaan terpaksa memperuntukkan RM1 bilion peruntukan tambahan. Jadi saya melihat peruntukan 1 bilion untuk 600,000 pekebun kecil sejumlah yang kecil kerana pendapatan negara setahun lebih kurang 200 bilion lebih.

"Ini perlu kita lihat supaya mereka dapat pendapatan dan hasil yang lebih untuk mereka berbelanja untuk 'rotation economic' seluruh negara.

"Ini cadangan kita kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi kerana pihak berkuasa RISDA ini di bawah hal ehwal ekonomi jadi mohon sangat-sangat menteri ekonomi supaya kita lihat sikit kepada penoreh getah ini kerana mereka juga penyumbang besar kepada ekonomi negara," kata Awang dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Awang turut membangkitkan masalah bekalan air di negeri Kedah akibat masalah paip yang sudah uzur.

"Negeri Kedah ini sentiasa menghadapi masalah bekalan air bukan kerana tak ada air tapi masalah piping yang dibina pada tahun 1970 dulu sudah peringkat penuaan yang mana tersumbat dan NRWnya sehingga 45 peratus tidak dapat diatasi.

"Ini juga saya cadangkan kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli supaya melihat balik penukaran piping yang dah lama ini," katanya pada perbahasan usul anggaran perbelanjaan pembangunan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2018.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) pula meminta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menjelaskan status kuota eksport kayu getah sama ada masih kekal 100,000 meter bersepadu setahun atau telah disekat.

Ujarnya, eksport kayu getah juga merupakan sumber pendapatan penoreh getah juga. – HARAKAHDAILY 14/8/2018