PAS Perak sangkal dianugerah tanah

Berita
Typography
IPOH: Dakwaan Adun Keranji, Chong Zhemin bahawa PAS Negeri Perak ada menerima tanah seluas 16,364 meter persegi adalah fitnah dan berniat jahat.
 
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menyangkal tuduhan tersebut yang didakwa diberi kepada parti itu antara tempoh 2008 hingga 2018.
 
Sebaliknya jelas beliau, hal tersebut sebenarnya berkaitan pertukaran hak milik individu kepada PAS Cawangan Langkap yang tidak sampai 0.4 hektar.
 
Tegas beliau, tuduhan tidak berasas itu adalah fitnah yang bertujuan memburukkan PAS, malah Adun Keranji itu sengaja menggunakan angka dalam unit meter persegi bermotif mengelirukan.
 
"(Dia cuba) menunjukjan seolah-olah jumlahnya (tanah itu) banyak (luas) sedangkan ia hanya 4 ekar (1.6 hektar). Skala digunakan mengelirukan, kerana sepatutnya dinyata dalam ekar atay hektar (bukannya meter persegi).
 
"Jadi kami minta agar dakwaan ini ditarik balik kerana langsung tidak berasas," ujarnya menyanggah dakwaan Zhemin di Sidang Dun Perak minggu lalu pada satu sidang media, di sini semalam.
 
Jelas beliau, pertukaran tersebut yang dikongsi lima individu pada tahun 1969 dengan keluasan asal 1.6 hektar, di mana pada 2012 berlaku pindah milik.
 
Terangnya, salah seorang pemilik memberikan sebahagian kecil tanah tersebut kepada Ketua PAS Cawangan Langkap bersama beberapa individu.
 
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin mencabar Zhemin mengulangi kenyataan tersebut di luar dewan agar tindakan undang-undang boleh diadakan.
 
Zhemin dalam perbahasannya mendedahkan kononnya kerajaan negeri meluluskan beberapa hak milik tanah kepada Umno, MCA, Gerakan dan PAS antara 2008 hingga 2018.
 
Bagaimanapun amalan PAS tidak pernah memohon perkara sedemikian menyebabkan PAS Perak bertindak membuat semakan dan mendapat maklumat sebenar sedemikian.
 
Hadir sama pada sidang media itu adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri. -HARAKAHDAILY 14/8/2018