Mahkamah syariah: PAS tunggu janji menteri

Berita
Typography

KOTA BHARU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa perlu serius untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

Ketua Pemuda PAS Kelantan Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, ahli Parlimen Parit Buntar itu perlu mengotakan cadangan tersebut tanpa menghiraukan tekanan dalam Pakatan Harapan (PH).

"Kita minta menteri serius melaksanakan kata-katanya hendak memperkasakan Mahkamah Syariah, janganlah pula terus tunduk apabila wujud tekanan dari pihak-pihak lain.

"Menteri kata mereka hendak buat lebih baik daripada RUU 355, kita minta supaya dia bawa secepat mungkin cadangan dari PH untuk memperkasakan Mahkamah Syariah. Kita tunggu janji itu," katanya di sini.

Di parlimen minggu lepas Dr Mujahid memberitahu parlimen kerajaan akan mengambil pendekatan menyeluruh bagi memperkasa mahkamah syariah.

Menurutnya usul yang dibawa wakil PAS sebelum ini tidak sesuai bagi kerangka mahkamah syariah dan tidak holistik. - HARAKAHDAILY 13/8/2018