Tutup aurat: Menteri usah banyak dalih

Berita
Typography

KOTA BHARU: Kerajaan tidak perlu lagi berdalih bagi membenarkan pramugari MAS mengenakan pakaian menutup aurat sebagaimana dikehendaki syarak.

Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Ahmad Marzuk Shaary berkata, bekas pemimpin PAS yang kini mempunyai kedudukan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu lagi mencipta banyak alasan.

“Ketika mereka bersama kita dahulu begitu lantang menuntut kerajaan ketika itu membenarkan pramugari mengenakan pakaian menutup aurat.

“Namun sekarang setelah mendapat kedudukan sebagai menteri lain pula nada mereka sehingga banyak berdalih.

“Inilah masalahnya apabila mereka tidak lagi bersama dengan perjuangan kita (Islam),” katanya pada kuliah di Medan Ilmu, Jalan Dato’ Pati hari ini.

Kerajaan PH sebelum ini menyatakan tiada larangan kepada mana-mana syarikat penerbangan menetapkan pakaian seragam pramugari yang menepati kehendak syariah Islam.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Kamaruddin Jaffar dilapor berkata ia perlu mematuhi kriteria yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan International Civil Aviation Organization (ICAO).

Sementara itu Jumaat hadapan akan diadakan kuliah perdana oleh pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus di Medan Ilmu bermula jam 8 hingga 11 pagi. - HARAKAHDAILY 10/8/2018