PAS dijangka letak calon PRK Seri Setia

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS dijangka meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) buat pertama kali di Dewan Undangan Negeri (Dun) Seri Setia selepas PRU14 berlalu.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keputusan muktamad PAS meletakkan calon di Dun tersebut akan ditentukan pada mesyuarat khas PAS Pusat yang akan diadakan pada Sabtu (esok).

"Komen awal kita, PAS akan mengadakan mesyuarat pada hari Sabtu ini. Secara asasnya PAS dijangka akan meletakkan calon dalam PRK dan parti telah meminta agar PAS Selangor menyediakan laporan lengkap untuk dibentangkan pada mesyuarat pusat nanti," katanya kepada Harakah melalui aplikasi WhatsApp, semalam.

Beliau berkata, PAS turut mengalu-alukan laluan diberikan oleh Barisan Nasional (BN) kepada PAS dalam PRK kali ini.

"PAS mengalu-alukan kenyataan bahawa BN tidak meletakkan calon dalam PRK tersebut, dan kita akan menggerakkan jentera parti sepenuhnya dalam PRK andainya PAS bertanding dalam PRK itu," katanya.

Menjelaskan mengenai laporan dari PAS Selangor, beliau yang juga Ahli Parlimen PAS Kubang Kerian berkata laporan tersebut meliputi semua perkara termasuk potensi, kekuatan jentera, persiapan dan isu setempat termasuk isu semasa yang sedang berlaku di dalam negara.

Kata beliau lagi, berhubung PRK Balakong keputusan untuk PAS meletakkan calon di Balakong masih belum dimuktamadkan lagi.

PRK Dun Seri Setia diadakan serentak dengan PRK Dun Balakong, hari mengundi pada 8 September, penamaan calon pada 18 Ogos manakala hari mengundi awal ditetapkan pada 4 September.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood pada 8 Ogos lalu.

Kerusi Dun Seri Setia kosong selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Baharuddin (PKR) meninggal dunia pada 2 Ogos lalu selepas dilaporkan tenat dan menderita sakit kanser kolon manakala kerusi Dun Balakong kosong selepas penyandangnya, Ng Tien Chee (DAP) maut akibat kemalangan di Lebuhraya Grand Saga pada 20 Julai lepas. – HARAKAHDAILY 10/8/2018