Adun BN terharu MB ziarah

Berita
Typography

DATUK Nozula Mat Diah (BN-Paloh) merakam ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob dan timbalannya Datuk Mohd Amar Abdullah kerana menziarahinya ketika terlantar sakit.

Nozula Mat DiahKatanya, beliau begitu terharu di atas kesudian pimpinan kerajaan negeri termasuk wakil-wakil rakyat datang menziarahi beliau.

“Terima kasih banyak di atas kesudian itu dan hari ini saya memohon banyak kemaafan di atas semua kesalahan saya,” katanya ketika membahas titah ucapan Pemangku Raja Kelantan pada persidangan Dun di Kota Bharu petang ini.

Ucapan Nozula yang juga Ketua Pembangkang membuatkan sidang Dun gamat seketika.

Bagaimanapun beliau mempertikai kerajaan negeri tidak meletakkan nama projek kerajaan pusat pada program pembangunan di peringkat pihak berkuasa tempatan PBT.

“Suka hati diaaa jeeeeee,” ujarnya sehingga membuatkan dewan menjadi riuh lagi.

Zaki IbrahimSebelum itu persidangan agak kecoh apabila isu berkaitan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dibangkitkan Mohd Zaki Ibrahim (PAS-Kelaboran).

Beliau mendakwa BR1M digunakan sebagai satu kaedah menganiayai orang miskin bagi menjaga kepentingan politik Umno dan BN.

"Kalau wang BR1M masuk dalam akaun, tidak ada masalah untuk pergi ambil di bank dan tidak berlakulah kejadian yang tidak diingini.

"Tetapi sekarang ada orang tua pengsan ketika menunggu giliran. Ini namanya hendak mengambil kesempatan politik daripada orang susah,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/3/2017