RUU 355: MB Kelantan rakam tahniah

RUU355
Typography

SAYA merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Marang, YB Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang yang juga Presiden PAS di atas kejayaan membentangkan usul pindaan Akta 355 di Dewan Rakyat semalam. Perbahasan usul berkenaan yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu juga sangat jelas dan memberi mesej yang berkesan kepada ramai Ahli-Ahli Dewan Rakyat termasuk Speaker Dewan Rakyat sendiri.

Pada dasarnya pindaan ini adalah selari dengan kehendak perlembagaan bagi memperkasakan tuntutan agama Islam yang menjadi agama rasmi persekutuan sebagaimana Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Sepatutnya sudah lama akta ini diberi nafas baru setelah diluluskan sejak 52 tahun yang lalu dan ianya hanya dipinda sekali iaitu pada tahun 1984. Pindaan kali ini adalah untuk meningkatkan hukuman maksimum kepada paras hukuman yang hampir atau sepadan dengan hukum syarak yang sememangnya sudah termaktub dalam Al-Quran dan Al-Sunnah.

Saya mewakili seluruh rakyat Kelantan melahirkan rasa syukur dan gembira dengan kejayaan Ahli Parlimen Marang membentangkan usul tersebut setelah sekian lama berusaha. Sesuai dengan negeri yang meletakkan dasar Membangun Bersama Islam, maka segala usaha pemerkasaan tuntutan syariah menjadi keutamaan negeri ini dan kejayaan pembentangan usul pindaan tersebut adalah suatu langkah pertama untuk memertabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia. Allahu Akbar!

USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
10 Rejab 1438/07 April 2017