MCA, DAP hero penentang RUU355...

RUU355
Typography

DALAM keadaan orang Islam bergembira RUU355 berjaya dibentangkan dengan hujahan sokongan yang jelas dan mantap di parlimen, mungkin ramai belum sedar situasi yang berbeza berlaku di kalangan pemimpin politik bukan Islam. Rupa-rupanya pemimpin MCA, DAP dan lain-lain berhempas pulas bagi memastikan RUU355 tidak berjaya diluluskan. Inilah mungkin antara jawapan sebenar kenapa Speaker menghentikan sesi perbahasan sebaik sahaja dibentang oleh Presiden PAS dan disokong oleh Setiausaha Agung PAS di Dewan Rakyat.

MCA, DAP dan beberapa lagi parti yang diwakili non-muslim sedang bertarung untuk menjadi hero penghalang RUU355. Anda boleh melihat kenyataan awal yang dikeluarkan oleh Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Ti Lian Ker dalam laporan The Star selepas sidang Dewan Tertinggi BN pada 30 Mac lepas, menyatakan bahawa MCA di bawah kepimpinan Loiw Tiong Lai telah mencapai kejayaan apabila berjaya menghalang Umno yang mengetuai BN daripada membawa RUU355 melalui usul kerajaan. Menurut beliau, kejayaan ini menunjukkan bahawa MCA masih kuat dalam memberi tekanan politik dalam BN.

Beliau turut memperlekeh DAP yang tidak serius menentang RUU355. Selain dari mendakwa bahawa DAP telah membantu PAS meningkatkan kuasa politiknya dalam beberapa PRU lepas, pemimpin MCA itu turut mencabar DAP untuk menyahut seruan mendiang Karpal Singh dan cabaran Lim Kit Siang, untuk keluar dari kerajaan Selangor yang masih diterajui bersama dengan PAS.

Sejurus selepas sidang parlimen tamat, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula menuduh DAP melalui Pakatan Harapan tidak membantah RUU355. Selain itu beliau menegaskan sekali lagi bahawa MCA konsisten menentang usul tersebut.

“Walaupun MCA hanya mempunyai 7 ahli Parlimen berbanding DAP 36 orang, dua penyokong kerajaan kami berdiri dan melemparkan soalan terhadap RUU persendirian Hadi.” Kata beliau.

Kenyataan itu kemudiannya dibidas oleh Naib pengerusi DAP, Teressa Kok, dengan menyifatkan dakwaan Ka Siong sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak berasas. Teressa Kok sebaliknya menyatakan bahawa DAP sudah bersedia menyatakan pendirian mereka terhadap RUU 355 ketika perbahasan dan pengundian diadakan. Namun mereka tidak menyangka Speaker akan bertindak menangguhkannya. Teressa Kok turut menuduh MCA bersekongkol dengan Umno bagi membenarkan Presiden PAS membentangkan usul tersebut.

“Jika tiada konsensus BN mengenai pembentangan itu, ahli Parlimen MCA sepatutnya keluar dari Parlimen untuk menyuarakan bantahan tegas mereka, tetapi semua ahli Parlimen MCA mendiamkan diri. Serangan panjang Wee terhadap DAP tidak boleh menyembunyikan hakikat MCA gagal menghalang usul membentangkan RUU355, sama ada wujud konsensus BN untuk membenarkannya.” Ujar kok.

Seorang lagi pemimpin DAP, Tony Pua turut membidas kenyataan Timbalan Presiden MCA itu. Dalam kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook, beliau bersungguh mahu membuktikan bahawa DAP juga berperanan menentang RUU355. Hujahnya adalah Lim Kit Siang dan Gobind Singh yang bangun serta-merta mempersoal sebaik sahaja Speaker membenarkan Presiden PAS membentang. Malah, Tony Pua menjelaskan bahawa mereka telah menyediakan dua pembahas untuk menentang RUU355 iaitu Gobind Singh dan seorang ahli parlimen DAP beragama Islam, Datuk Ariff Sabri.

Sebelum itu Tony Pua dalam satu rakaman video mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan sanggup menangguh lima usul demi memastikan usul persendirian dari PAS dapat dibentangkan. Beliau mahu menunjukkan betapa kerajaan sangat serius dalam agenda pemerkasaaan mahkamah syariah ini, dengan harapan dapat menakut-nakutkan pengundi bukan Islam.

Penentangan tidak hanya berlaku dalam parti yang dipimpin oleh bukan Islam sahaja. Malah PKR sebelum itu lagi telah membuat keputusan untuk menolak usul RUU 355. Salah seorang ahli parlimennya, Wong Chen menulis dalam facebook bahawa PKR telah memutuskan untuk meletakkan Rafizi Ramli sebagai pembahas pertama yang akan menolak RUU 355. Sama seperti pemimpin MCA, beliau meletakkan harapan kepada ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk menjadi penentang utama dalam undian RUU 355 di parlimen.

Sikap Speaker menangguh pengundian RUU 355 sangat berasas. Kebimbangan RUU 355 gagal dalam undian boleh berlaku, dengan penentangan hampir keseluruhan ahli parlimen bukan Islam tidak kira kerajaan atau pembangkang, ditambah ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak, dan juga sikap sebahagian ahli parlimen Islam yang berpihak kepada mereka. Selain itu, ia mungkin strategi politik parti komponen BN selain Umno dalam menenggelamkan peranan DAP di mata rakyat bukan Islam. Penangguhan ini telah memberi kemenangan terhadap parti komponen BN dalam persaingan mereka dengan DAP bagi menjadi hero penentang RUU355.

Semua fakta di atas menggambarkan kesungguhan MCA dan DAP, juga PKR dalam menentang RUU 355 demi meraih undi daripada bukan Islam. Ini menandakan bahawa mereka telah berjaya menanamkan persepsi negatif pengundi bukan Islam terhadap RUU355, walaupun telah dijelaskan berulang kali dan berbagai pihak, bahawa RUU 355 langsung tidak melibatkan orang bukan Islam. Kini tugas mereka hanya untuk menjuarai isu RUU 355 melalui penentangan yang bersungguh-sungguh.

Tepat sebagaimana telahan Presiden PAS bahawa dengan RUU 355 ini, kita akan menghadapi halangan dan kita akan tahu siapa yang menghalang. Dalam ceramah beliau di Rusila, Tuan Guru sekali lagi menyatakan bahawa RUU 355 ibarat batu yang dicampak ke sungai. Disangka tenang, tetapi habis segala buaya, katak, biawak, dan sebagainya timbul serta merta. RUU 355 dapat melondeh semua sikap sebenar penentang usaha memartabatkan agama ini dengan sejelas-jelasnya.

Malangnya, ramai tidak menyedari hakikat ini. Ada dalam kalangan orang Islam yang masih bersangka baik kononnya DAP dan PKR tidak menentang RUU355. Mereka masih menganggap tidak ada masalah melakukan kerjasama politik dengan parti-parti di atas, hatta tidak kisah memberikan mereka berkuasa di negara ini walaupun telah jelas sikap mereka terhadap usaha memartabatkan syariat Islam di negara ini.

Dalam hal ini sepatutnya pemimpin parti-parti politik Islam bersaing dalam menjuarai sokongan terhadap RUU355. Mereka juga perlu menunjukkan bantahan terhadap sekutu masing-masing sama ada dalam BN atau PH dan membela hak orang Islam untuk menaiktaraf kuasa perundangan Islam di negara ini. Malangnya sesetengah ahli politik Islam lebih berminat untuk menjaga kedudukan politik masing-masing sehingga berdiam diri sahaja terhadap kebiadapan rakan-rakan mereka. Umno lebih suka mengutuk DAP dan PKR berbanding rakan parti komponen mereka. PAN dan PKR pula memilih mengkritik MCA dan Gerakan daripada DAP sendiri.

Setakat ini, hanya PAS yang konsisten mengecam kedua-dua belah pihak tidak kira sama ada dari pembangkang mahupun kerajaan. PAS juga turut mengkritik sikap pemimpin politik beragama Islam lain yang bersikap tidak acuh dalam usaha memartabatkan undang-undang Islam ini. Jelas PAS sehingga kini konsisten dengan perjuangan Islam sejak dahulu dan tidak pernah berkompromi dalam isu-isu melibatkan kepentingan agama tercinta ini. – HARAKAHDAILY 12/4/2017