Usul RUU 355 di Dewan Rakyat hari ini

RUU355
Typography

ALHAMDULILLAH. Selawat dan Salam buat Rasulillah, juga buat Ahli Keluarga dan Sahabat Baginda dan seluruh mereka yang mengikut Sunnah Baginda.

1. Hari ini insyallah Usul Rang Undang-Undang Ahli Persendirian bernama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau dikenali sebagai RUU 355 akan dibentang untuk dibahas di Dewan Rakyat oleh YB Kawasan Marang.

2. Ia bertujuan untuk mencadangkan pindaan terhadap "Akta 355 Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah 1965" daripada kadar hukuman tidak lebih 3 tahun penjara, lima ribu ringgit denda dan 6 kali sebatan kepada tidak lebih 30 tahun penjara, 100 ribu ringgit denda dan 100 kali sebatan menurut Syariah.

3. Akta ini setelah berjaya dipinda di Parlimen membolehkan Dewan-Dewan Undangan Negeri meminda kadar hukuman kesalahan Syariah dalam Enakmen-enakmen Kesalahan Syariah yang akan terpakai di Mahkamah-Mahkamah Syariah Negeri.

4. Akta 355 sejak diperkenalkan pada 1964 di Parlimen hanyalah berkaitan dengan kadar hukuman kesalahan jenayah di Mahkamah Syariah yang khusus untuk orang Islam sahaja sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia.

5. Keperluan meminda Akta ini merupakan hasrat besar umat Islam di Malaysia. Malah ia juga disokong oleh tokoh ulamak antarabangsa seperti Syeikh Dr Hammam Sa'id, bekas Muraqib Aam Ekhwan Jordan (sesi 2008-2016) dan Syeikh Dr Solah Khalidi, tokoh ulamak tafsir Jordan sebagaimana rakaman ucapan mereka berdua yang tersebar luas.

6. Saya menyeru seluruh Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia beragama Islam yang cintakan agama mereka dan bukan muslim yang memahami bahawa RUU 355 adalah khusus berkaitan kepentingan umat Islam sahaja agar sama-sama berdoa supaya segala usaha ini berjalan lancar.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis 6hb April 2017 - HARAKAHDAILY 6/4/2017