24
Fri, Mar
163 New Articles

19 Mac 2015
Ahli Parlimen (MP) Marang, Tuan Guru Abdul Hadi Awang menghantar notis kepada dewan rakyat untuk membentangkan usul persendirian berkaitan rang undang-undang pindaan akta mahkamah syariah bidang kuasa jenayah (RUU355). Ia merupakan kali ketiga dikemukakan kepada pihak parlimen sejak dahulu.

7 April 2015
Usul persendirian MP Marang berhubung RUU355 disenarai dalam aturan usul mesyuarat dewan rakyat pada turutan ke-26. Namun atas alasan kesuntukan masa dan mendahulukan usul-usul kerajaan, usul persendirian itu tidak sempat dibentang.

4 Jun 2015
Empat individu telah mengemukakan saman pemula terhadap Presiden PAS berkait RUU355 ini. Dua daripada mereka ialah peguam Mansoor Saat dan Azira Aziz manakala dua lagi aktivis kebebasan Hazwany Jamaluddin dan Hasbeemaputra Abu Bakar. Mereka diwakili oleh peguam bernama Siti Zabedah Kasim, aktivis Bersih dan pejuang LGBT dan juga peguam Farez Jinnah.

Saman dikemukakan memohon Pemberitahu Usul untuk Rang Undang-Undang Pindaan Akta 355 ini ditolak daripada dibentangkan oleh Tuan Speaker kerana ia adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan, penyalahgunaan proses sistem legislatif kerana cara yang tidak betul dan kerana hak-hak wanita, penganut bukan Islam dan seterusnya prinsip keadilan Islam yang sebenarnya juga akan terjejas.

Mereka menamakan empat defendan selain Tuan Guru Abdul Hadi iaitu Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin bin Hj Mulia dan dua Timbalannya Datuk Ronald Kiandee dan Datuk Ismail Mohamad Said.

8 Jun 2015
Empat orang individu yang menyaman Presiden PAS itu telah menuntut injuksi dari mahkamah bagi menghalang usul persendiriannya dibawa ke dewan rakyat.

17 Jun 2015
Usul persendirian MP Marang sekali lagi disenaraikan. Ia berada pada turutan ke-16 aturan usul mesyuarat dewan rakyat. Namun kerana terdapat injuksi daripada mahkamah, ia tidak dapat dibentang.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan 18 Jun 2015 sebagai tarikh pendengaran kes. Susulan daripada itu, RUU355 tidak dapat dibawa ke parlimen sehingga kes selesai.

2 Julai 2015
Pihak defendan diwakili peguam Datuk Sulaiman Abdullah dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan memfailkan permohonan awal membantah saman pemula itu atas alasan pemohon sepatutnya memfailkan permohonan itu melalui semakan kehakiman dan bukan saman pemula. Ini kerana mereka mencabar berhubung proses membuat keputusan oleh pihak berkuasa awam seperti Parlimen. Jadi, menyerang proses membuat keputusan perlu melalui semakan kehakiman di bawah Perintah 49 Perintah Tetap Parlimen.

Tuan Guru turut mendakwa saman pemula yang difailkan keempat-empat pemohon itu juga tidak mempunyai merit dan sebagai anggota Dewan Rakyat, beliau mempunyai hak keistimewaan serta imuniti. Beliau juga diwakili oleh peguam Datuk Takiyudin Hasan, Setiausaha Agung PAS.

9 Nov 2015
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati bahawa tindakan Presiden PAS mengemukakan usul persendirian ini adalah tidak bercanggah dengan undang-undang. Justeru mahkamah membuat keputusan membenarkan permohonan pembatalan saman pemula yang dikemukakan oleh empat individu sebelum ini.

24 Nov 2015
Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi mewakili Perdana Menteri, menyuarakan hasrat agar Majlis Perundingan Islam (MPI) dihidupkan semula mulai 2016. Penubuhan MPI merupakan kesinambungan daripada penyusunan semula Badan Perundingan Islam (BPI) yang pernah wujud sejak tahun 1982. BPI bertindak sebagai jawatankuasa pemikir yang berperanan sebagai penasihat kepada kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan terhadap agenda pembangunan negara khususnya dalam perkara pengurusan hal ehwal Islam disamping penambahbaikan taraf mahkamah syariah.

11 Februari 2016
Mesyuarat kali pertama Majlis Perundingan Islam (MPI) bagi 2016 berlangsung. Ia dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga pengerusi MPI Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Mesyuarat telah bersetuju membentuk tujuh kluster khusus berperanan sebagai kumpulan pemikir yang boleh memberi idea, cadangan dan membantu kerajaan melaksanakan agenda pembangunan negara menurut landasan syarak. Setiap kluster menggabungkan tokoh daripada pelbagai latar belakang meliputi ahli agama, ahli akademik, tokoh korporat dan pemimpin badan bukan kerajaan. Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din dilantik sebagai Ketua Kluster Dakwah MPI, selain Tan Sri Muhamad Ali Hashim (ekonomi), Tan Sri Prof Dr Kamal Hasan (pendidikan), Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (sosial), Prof Datuk Seri Zaleha Kamarudin (undang-undang), Datuk Dr Siddiq Fadzil (pemikiran Islam) dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (politik).

7 Mac 2016
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah mahu langkah-langkah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan Mahkamah Syariah, disegerakan. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal ke Empat, Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat.

10 Mac 2016
Presiden PAS membahaskan Titah Diraja dengan memetik dua perkara yang disentuh SPB YDP Agong iaitu Sokongan terhadap segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah dan juga seruan Yang di-Pertuan Agong agar hentikan berpolitik untuk kepentingan sempit. Tuan Guru menggunakan peluang itu untuk menerangkan tentang tasaswwur dan konsep syariat Islam dalam sistem pemerintahan berbekalkan nas al-Quran dan Hadith serta panduan sejarah dan undang-undang. Ucapan beliau mendapat respon dari berbagai pihak samada kerajaan mahupun pembangkang beragama Islam mahupun tidak.

26 Mei 2016
Usul persendirian disenaraikan pada turutan ke-15 dalam mesyuarat parlimen. Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menggunakan Peraturan Mesyuarat 14(2), mencadangkan usul Presiden PAS dinaikkan ke nombor satu.

Presiden PAS berjaya membacakan usul tersebut buat kali pertama. Ia merupakan usul persendirian pertama dari pembangkang yang berjaya dibacakan dalam sejarah dewan rakyat. Tetapi atas faktor keterbatasan masa, beliau meminta perbahasannya ditangguh ke mesyuarat akan datang.

26 Oktober 2016
Tuan Guru Presiden PAS sekali lagi mengambil peluang semasa sesi perbahasan RUU Perbekalan (Bajet) 2017 untuk menjelaskan lagi tentang syariat Islam dan kedudukan Islam dalam negara ini dari sudut sejarah dan perundangan. Beliau turut menyatakan kekesalan apabila usul persendirian berkaitan akta 355 dipertikaikan banyak pihak termasuk dari kalangan bukan Islam. Sekali lagi mendapat respon hangat dari ahli dewan rakyat berbagai posisi dan agama.

22 November 2016
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi memanggil semua ahli dewan rakyat beragama Islam ke sesi taklimat khas berkenaan RUU355. Ia diadakan di dewan taklimat bangunan Parlimen Malaysia. Sesi tersebut diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Ia turut dihadiri oleh Mufti Wilayah Persekutuan, SS Dato Dr Zulkifli al-Bakri. Ia bertujuan supaya ahli parlimen jelas akan proses yang bakal dilalui supaya pindaan berjaya dilaksanakan. Walaupun timbul berbagai soalan dan hangat, tetapi pada akhirnya ia berjaya diredakan dengan penjelasan dari pihak kerajaan.

24 November 2016
Presiden PAS telah meminda usul RUU335 dengan memasukkan had hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun, rotan tidak melebihi 100 sebatan dan juga denda tidak melebihi 100,000 ringgit. Oleh sebab usul yang dipinda ini berbeza dari usul sebelum ini, maka perbahasannya ditangguhkan untuk memberi lebih ruang kepada ahli parlimen untuk mengkaji mengikut konteks pindaan terbaru.

18 Februari 2017
Himpunan 355 (H355) dianjurkan di Padang Merbok, Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan rakyat terhadap usul RUU355. Ia dihadiri kira-kira 300,000 rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama dan fahaman. Himpunan tersebut boleh dikategorikan himpunan umat Islam terbesar atas nama pembelaan agama selepas peristiwa penubuhan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol dan peristiwa Natrah di Singapura.

Pada hari yang sama juga, diadakan himpunan anti RUU355 di kawasan yang berlainan. Kehadiran yang dilaporkan adalah sekitar 100 orang, rata-ratanya adalah kalangan orang bukan Islam. Antara orang Islam yang terlibat adalah pemimpin DAP, Datuk Zaid Ibrahim dan peguam Siti Zabedah Kasim.

6 Mac 2017
Semasa perasmian mesyuarat pertama Dewan Rakyat Penggal ke Lima Parlimen ke 13, SPB YDP Agong memberi isyarat jelas dalam Titah Dirajanya mahukan undang-undang Islam diperkasakan. Titah baginda: “Beta menyokong inisiatif yang dilaksanakan agar sebarang unsur penghinaan terhadap agama Islam dan institusinya di negara ini ditangani dengan kebijaksanaan dan ketegasan. Beta berharap langkah-langkah yang dilaksanakan dalam menangani penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada Islam melalui media massa dan laman web terus dipertingkatkan termasuklah meneruskan pemerkasaan undang-undang pentadbiran agama Islam. Pada masa yang sama, kesepakatan pemimpin-pemimpin Islam utama di negara ini adalah suatu yang amat baik dan dialu-alukan sebagaimana dalam menangani isu Rohingya di Myanmar”.

7 Mac 2017
RUU355 disenarai dalam aturan usul bagi mesyuarat kali ini pada turutan ke-7. – HARAKAHDAILY 14/3/2017

PERBINCANGAN antara saya dan Dr Asri semalam di Kangar pada 3 Mac 2017 berhubung pindaan Akta 355 merumuskan beberapa perkara:

1. Cadangan peningkatan hukuman kesalahan Syariah bersifat takzir kepada 30 tahun penjara dan 100 ribu denda tidak dipersetujui oleh beliau dengan alasan dan hujah tersendiri.

2. Adapun PAS mempunyai rasional dan hujah tersendiri dalam mencadangkan hukuman 30 tahun penjara dan 100k denda sebagaimana juga pandangan mereka yang terlibat dalam sistem perundangan Islam di Malaysia. Namun, tulisan ini bukan ruang untuk perbahasan tersebut.

3. Beliau bersetuju bahawa Akta 355 perlu dipinda pada kadar hukuman 6 kali sebatan ke 100 kali sebatan Syarie sebagaimana tuntutan al-Quran dan Sunnah. 100 sebatan pula perlu dihadkan kepada kesalahan minum arak, Qazaf dan Zina sahaja.

Saya mengambil positif atas persetujuan bersama bahawa Akta 355 perlu dipinda pada kadar sebatan 6 kepada 100 sebatan pada 3 kesalahan tersebut.

Adapun perincian jenis hukuman lebih daripada itu nanti adalah melibatkan pindaan Enakmen di negeri-negeri nanti menerusi Dewan Undangan Negeri masing-masing. Akta 355 hanyalah akta ibu yang akan membuka laluan kepada negeri-negeri untuk membuat sebarang perubahan dalam enakmen sedia ada, berdasarkan keperluan dan tentunya mesti mendapat perkenan daripada DYMM Sultan di negeri masing-masing.

Semoga perbincangan ini memberi manfaat kepada umat Islam dalam memahami usaha meminda Akta 355.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 4 Mac 2017 - HARAKAHDAILY 4/3/2017

KETUA Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan menegaskan tidak timbul soal 'siapa memperalatkan siapa' di dalam memperkasakan undang-undang syariah termasuklah meminda RUU 355.

Ini kerana katanya, pindaan RUU 355 yang di bawa oleh Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah bertujuan untuk memperkasakan agama Islam di negara ini.

"Jangan terlalu terjebak dengan polemik dengan sentimen yang hanya buang masa kita. Apa yang kita lakukan adalah prinsip terhadap muslim jadi tidak timbul siapa peralat siapa," katanya.

Bercakap di dalam program Bual Bicara Harakah sesi ke-6 hari ini, Nasrudin berkata, isu pindaan RUU355 ini adalah titik perubahan untuk umat Islam bangkit tanpa mencurigai antara satu sama lain.

Katanya, pindaan ini menjadi tanggungjawab bersama dan perlu bantu membantu bagi memperkasakan RUU ini.

"Kita tidak mampu nak buat semua tetapi kita ada kaedah. Perkara tidak mampu jangan buat semua," katanya di My Harakah Bazaar.

Justeru katanya, di dalam pindaan ini semua pihak tidak perlu gopoh-gapah dan perlu melalui proses yang sewajarnya untuk memperbaiki kelemahan.

"Jangan gopoh, seumpama kita berjalan di atas lantai yang licin barulah kita selamat. Kita bimbang akan tergelincir. Banyak proses buat keputusan yang perlu dihormati dan dicermati, kerana kesempurnaan perlu lalui proses yang cermat," katanya.

Program Bual Bicara Pasca Himpunan 355 Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera turut membarisi dua lagi lagi ahli panel iaitu Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan mantan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim manakala moderatornya adalah Pengarah Komunikasi Korporat PAS Roslan Shahir Mohd Shahir. – HARAKAHDAILY 9/3/2017

TIBA tiba sahaja Free Malaysia Today menerbitkan artikel 'Usul Hadi Langgar Syariah, Kata Bekas “Pakar JAKIM” bertarikh 25 Februari  2017 yang memuatkan pandangan seorang yang bernama Nurul Haq Shahrir yang dijenamakan sebagai seorang 'pakar'. 

Sepantas kilat hari yang sama juga tulisan itu dimuatkan dalam Blog Lim Kit Siang, Pengerusi DAP.  Malah sempat artikel yang panjang lebar  itu diterjemahkan ke bahasa Inggeris dalam masa sehari sahaja. Begitu bersungguhnya! 

Pakar berkenaan dikatakan salah seorang ahli panel 'transformasi undang undang Islam' di bawah Majlis  Dakwah Negara.  

Majlis Dakwah Negara ini salah satu organisasi di bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia,  YADIM.  

Saya telah cuba mencari apa apa maklumat di alam maya jika pernah memuatkan apa apa tentang individu yang bernama Nurul Haq Shahrir yg mendapat perhatian  istimewa dari Lim Kit Siang ini. Malangnya tiada.

Tinjauan ke laman Majlis Dakwah Negara juga tidak menemui namanya. Maka tidaklah boleh kita menganggap pandangannya mewakili Majlis Dakwah Negara. Malah beliau disebut 'Bekas Pakar JAKIM' menunjukkan beliau bukan lagi seorang kakitangan dari JAKIM. 

Malah pandangannya bahawa RUU 355 melanggar syariah adalah sangat pelik, ganjil dan bercanggah  dengan pendirian JAKIM,  YADIM malah Majlis Dakwah Negara sendiri.

YADIM melalui artikel di laman rasminya bertajuk antara lain "Pindaan Akta 355 tak rampas hak penganut agama lain”, "Pindaan Akta 355: Usaha Mengangkat Martabat Mahkamah Syariah" dan "Cadangan Pindaan Akta 355: Satu Pandangan" adalah jelas menegaskan pendirian YADIM yang merupakan induk kepada Majlis Dakwah Negara berhubung soal Pindaan Akta 355.

Dalam satu artikel di laman Islam dan Melayu bertajuk "Majlis Dakwah Negara Syor Kerajaan Laksana Undang Undang Jenayah Islam" memuatkan  pandangan Pengerusi  Majlis Dakwah  Negara  sendiri, Prof.  Emeritius Dato' Dr.  Mahmood Zuhdi Abdul Majid. 

Laman Rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)  menyiarkan penjelasan pelbagai persoalan  tentang RUU 355, yang memuatkan soal jawab oleh Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam usaha memberi faham kepada rakyat  mengapa RUU355 perlu disokong. 

JAKIM sendiri terlibat aktif dalam siri penerangan berhubung Pindaan Akta 355.

Hampir kesemua mufti negeri negeri dan wilayah di Malaysia kecuali Mufti Perlis menyatakan sokongan kepada Pindaan Akta 355.

Hampir kesemua NGO berkait profesion kehakiman syariah, pegawai mahkamah,  para peguam muslim,  peguan syarie mendokong pindaan Akta 355.

Tiba tiba nama yang tidak dikenali yang membawa pandangan ganjil yg bermaksud "Pindaan Akta 355 Langgar  Syariah" yang dilonjakkan dan diberi publisiti oleh Free Malaysia Today dan sepantas kilat diterjemahkan ke bahasa Inggeris pada hari yang sama dimuat naik ke blog Lim Kit Siang,  Pengerusi DAP, ketika umat Islam semakin mengenali sikap DAP yang anti kepada usaha memperjuangkan Islam. 

Siapa yang songsang sebenarnya sekarang?

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan pindaan RUU 355 merupakan laluan 'pintu belakang' kepada pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Ini kerana katanya, setiap undang-undang yang dipinda perlu melalui proses parlimen yang akan melalui peringkat demi peringkat.

"Soal hudud? Perlu prasarana yang betul-betul boleh bersedia. Kita belum ada 2/3 perlu pinda Perlembagaan Persekutuan. Umno, PAS, campur semua Amanah, Bersatu, termasuk dua DAP dan PKR, PBB baru 137 orang. Nak laksanakan hudud macam mana?" soal beliau.

Apatah lagi katanya, hendak memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah yang perlu meminda Perlembagaan Persekutuan dengan sokongan seramai 148 Ahli Parlimen sedangkan seramai 137 orang yang beragama Islam dengan andaian tidak ada persepsi.

"Andai semua MP Islam dapat hidayah daripada Allah untuk menyokong pindaan RUU355, itupun tidak cukup lagi kerana kita perlukan sokongan orang bukan Islam," katanya di dalam Program Bicara Harakah Pasca  Himpunan 355 di MyHarakah Bazaar.

Justeru katanya, dalam konteks pada hari ini orang Islam perlu matang dalam berpolitik demi kepentingan umat Islam perlukan duduk bersama.

"Tidak ada agenda 'udang di sebalik batu'. Jangan kita mendambakan apabila dapat kuasa terus buat semuanya.

"Kita seru kembali kepada perkara asas dan pokok. Apa, kenapa hendak pinda jangan buat andaian dan sentimen-sentimen yang boleh meruntuhkan keharmonian kita. Apa yang dicadangkan tidak keluar daripada Perlembagaan Persekutuan. Selagi mana tidak keluar tidak perlu kita timbul andaian. Kita cuba angkat martabat syariah," ujar beliau. – HARAKAHDAILY 9/3/2017

Page 1 of 2