Bentuk sahsiah politik Malaysia Baharu

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Pembinaan negara kontemporari yang memenuhi aspirasi seluruh rakyat mestilah bermula dengan arena politik kenegaraan berusaha memajukan agama, negara dan bangsa, demikian seru Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS – Sik).

Menurutnya, kebijaksanaan berpolitik secara matang amat dituntut dan sebarang perbezaan politik antara masyarakat mesti ditangani agar tidak membawa kepada perpecahan atau boleh meruntuhkan asas keharmonian.

“Pertama, pengisian dalam negara berasaskan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama lain juga dibenarkan diamal di mana-mana di negara ini dengan penuh aman.

“Kedua, mari kita terus berusaha menjadi negara baik yang senantiasa meletakkan akauntabiliti dan kebertanggungjawaban itu sebagai suatu perkara perlu dilaksanakan oleh semua pihak.

“Ketiga, mari kita membina keamanan dalam negara ini dengan meletakkan keharmonian dan kesaksamaan seluruh masyarakat itu sebagai tanggungjawab kita bersama dan keempat iaitulah kemakmuran dari segi ekonomi,” hurainya semasa membahas Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

Untuk itu seru beliau, tugas sebagai ahli politik mestilah meletakkan kejujuran dan amanah sebagai neraca kebolehpercayaan masyarakat terhadap Ahli Parlimen dan sama sekali jangan lagi berbohong di atas pentas politik.

Henti fitnah, janji palsu

Peringat beliau, jangan lagi menjadikan fitnah itu sebagai ‘makanan’ sepertimana ketika kempen PRU14 lalu apabila banyak suara ahli-ahli politik bercakap dalam keadaan tidak mengetahui hakikat yang diberi maklum kepada rakyat.

“Sehinggalah sebahagian rakyat mempercayai tuduhan-tuduhan dan fitnah sepertimana juga PAS menerima fitnah besar menerima wang daripada pihak tertentu sebanyak RM90 juta. Mari kita buang sikap yang disebut kriteria politikus yang populis. Iaitu berjanji di luar kemampuan.

“Memasarkan janji manifesto yang seindah bulan dan bintang. Sedangkan ia tidak mampu dilaksanakan. Tidak mengapa tidak menunaikan janji asal beroleh sokongan yang melimpah ruah. Politikus yang populis ini (juga) lebih tertumpu kepada hebahan isu-isu hangat untuk menjentik emosi rakyat tanpa menyediakan pelan penyelesaian yang konstruktif.

“Islam tidak menghargai sikap dan watak yang suka menabur janji. Namun Islam menekankan sikap menunaikan janji sepertimana yang disebut oleh Allah S.W.T dalam al-Quran,” peringat beliau.

Beliau turut menzahirkan sokongan kepada segala usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan khususnya untuk mempertingkatkan pemahaman syariah dan Islam di kalangan penduduk khususnya umat Islam di negara ini.

Jaga asas negara

Jelas beliau, Indeks Syariah Malaysia yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini perlu diperluas dan dilaksanakan selain menyokong penuh Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang telah diumumkan penubuhannya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

Beliau juga mengemukakan cadangan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dinaiktaraf menjadi Suruhanjaya Kemajuan Islam sebagai suatu badan besar untuk mengurus hal ehwal umat Islam di negara ini.

Menyentuh hal berkaitan pelaksanaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang diuar-uar akan dilaksanakan pada tahun ini, beliau menasihati pihak kerajaan agar penuh teliti dan tidak tergopoh-gapah.

“Lihatlah pandangan dikemukakan oleh pakar-pakar bahasa termasuk Prof Dr Khoo Kay Kim dan beberapa orang lagi yang mereka menyatakan kerajaan perlu menilai pelaksanaan ini dalam konteks sebuah negara yang berbilang kaum.

“Sudah pastilah melibatkan Perlembagaan Negara kita. Jangan kita menjadikan pelaksanaan UEC ini menggembirakan satu kelompok masyarakat, tetapi mengecewakan dan memilukan dan membangkit kemarahan 10 kelompok majoriti masyarakat yang lain,” nasihat beliau. - HARAKAHDAILY 31/7/2018