Jangan sekat wakil pembangkang jalan tugas

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kerajaan PH diminta merealisasikan keterbukaan dengan memberi jaminan untuk membenarkan setiap wakil rakyat termasuk daripada pembangkang menjalankan tugas mereka antaranya kebenaran memasuki premis kerajaan.

Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS – Tumpat) berharap agar jaminan diberikan oleh kerajaan baharu ini membezakan sikap dan larangan oleh kerajaan yang lalu agar ianya tidak berlaku lagi sebagaimana dahulu.

Jadi saya meminta Menteri supaya memberikan jaminan sesuai dengan kerajaan baru yang terbuka ini bahawa kerajaan tidak akan menghalang mana-mana pemimpin daripada pembangkang untuk memasuki premis kerajaan bagi menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.

“Pengalaman beberapa hari selepas pilihan raya yang lalu, apabila saya dijemput di Klinik Desa, di kampung saya untuk merasmikan satu program kecil dan tersebar di media. Terdapat bantahan daripada pemimpin-pemimpin PH di Negeri Kelantan supaya menekan jabatan berkenaan disiasat.

“Kononnya kerana membenarkan pemimpin pembangkang untuk merasmikan program di bawah jabatan kerajaan,” kemukanya semasa membahas Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

Dalam ucapan ringkas itu, beliau turut menyentuh mengenai Negeri Kelantan yang merupakan satu-satunya negeri di Malaysia, bahkan mungkin di dunia yang tidak memiliki lebuh raya, sedangkan kemudahan itu merupakan tanggungjawab Persekutuan.

Dato’ Che Abdullah turut menggesa Kerajaan Persekutuan menyegerakan pembinaan tebatan banjir di kawasan sekitar tebing Sungai Golok di Pasir Mas, Tumpat dan kawasan sekitarnya bagi mengatasi masalah banjir termenung yang berlaku setiap tahun.

Beliau juga meminta Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah kecetekan Kuala Pantai Tujuh di Tumpat yang menyukarkan nelayan untuk keluar ke laut di mana semua masalah tersebut merugi dan menyusahkan rakyat. - HARAKAHDAILY 31/7/2018