Himpunan: Kebangkitan rakyat terhadap kerajaan PH

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kebangkitan rakyat hari ini bukti desakan perjuangan rakyat kepada kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap pelbagai kerosakan sistem yang mencemarkan perlembagaan negara.

Para peserta Himpunan Kebangkitan Ummah hari ini menyatakan rasa kerisauan dan solidariti dalam menyuarakan kebimbangan hak bumiputera, hak agama Islam, kuasa raja-raja Melayu dan cubaan kerajaan PH untuk iktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Mereka menyertai himpunan yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru ini bermula seawal jam 9 pagi dan dijangka tamat pada jam 2 petang.

Turut kelihatan kelibat artis Malaysia, Ellie Suriyati, kepimpinan utama PAS ahli parlimen Kota Bharu, Dato' Takiyuddin Hassan, ahli parlimen PAS Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan, 300 NGO Islam dan Melayu, tokoh sosiobudaya, Tan Sri Rais Yatim, mantan Ketua Siasatan PDRM, Tan Sri Zaman Khan.

Dalam ucapan oleh Tan Sri Zaman Khan, beliau menyatakan kebimbangan atas pihak tertentu yang mahu memansuhkan Akta Hasutan.

Ujarnya, Akta Hasutan berperanan dalam memelihara perpaduan negara.

"Akta Hasutan ini di Amerika Syarikat pun ada, kalau dihapuskan akta ini macam mana nak pelihara keharmonian negara. Kalau nak pinda, pindalah tapi jangan hapuskan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM), Ahmad Yazid Othman dalam ucapannya mendedahkan kedudukan ekonomi orang Melayu masih berada di paras yang rendah.

Ujarnya, lingkungan pendapatan majoriti orang Melayu masih berpendapatan bawah RM2,000.

Perkara itu sewajarnya diperjuangkan dan difokuskan oleh kerajaan hari ini bagi memajukan ekonomi orang Melayu.

Manakala, Pengkaji Sejarah Ikatan Arkeologi Malaysia (IAAM), Zaharah Sulaiman dalam ucapannya hari ini hal orang Melayu semakin dipinggirkan.

"Banyak tanah rizab Melayu tidak dikembalikan semula kepada orang Melayu.

"Umpamanya di Kuala Lumpur baki tanah Melayu kurang daripada 10 peratus dan mungkin tinggal 1 peratus. Tanah TUDM antaranya hartanah bernilai tinggi sepatutnya dipulangkan kepada orang Melayu," ucapnya.

Mewakili PERKASA, Ustaz Hassan Basri berkata belum pernah berlaku dalam sejarah di negara ini apabila kerajaan mengiktiraf dan melantik individu yang mengangkat komunis sebagai wira dan menyifatkan tentera dan polis sebagai tali barut British dilantik sebagai menteri pertahanan.

Biarpun hujan turun sekejap dan cuaca redup tidak menghalang lebih ramai lagi menyatakan sokongan terhadap kebangkitan rakyat hari ini. – HARAKAHDAILY 28/7/2018

hm4

hm1

hm2

hm3