Islam tundukkan kuasa besar dunia

Berita
Typography

MARANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Islam telah menundukkan banyak kuasa besar dunia seperti Rom dan Parsi.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Istiadat Ihtifal Maahad Darul Quran Kali Ke 27 yang diadakan di Darul Quran, Rusila.

Jelasnya, melalui acuan ilmu Allah maka diolah ilmu manusia yang berkait dengan duniawi seperti politik, ekonomi, sains dan teknologi.

Menurutnya, pembangunan manusia yang hebat di atas ketamadunan gabungan ilmu duniawi dan Islam menjadikan Islam kuat sehingga meranapkan tamadun Rom, Parsi, India dan lain-lain.

Katanya, Islam memperkenalkan cara mengenal Allah dan ilmu dengan cara yang betul sehinggakan Islam menjadi kuasa besar tunggal dengan sempadan timurnya di Asia Tenggara, sempadan baratnya di Afrika Barat, di utaranya Asia Tengah, di selatannya Afrika Tengah.

Beliau juga menyebutkan bahawa ilmu agama yang dipelajari tidak mampu untuk menarik orang mengenal Islam pada zaman kejatuhan.

Tambahnya, usaha ulama pada zaman dahulu yang masuk ke Asia Tengah, China yang terkenal dengan Jalan Sutera sehinggakan ramai di kalangan penganut agama lain yang memeluk Islam sepertimana orang Melayu yang dahulunya menganut agama Buddha bertukar kepada agama Islam.

Katanya lagi, Islam yang maju ketika zaman Uthmaniyah menguasai Laut Mediterranean, Laut Merah, Lautan Hindi dengan senjata moden pada ketika itu sehingga disebutkan bahawa apabila mereka membedil musuh-musuh maka malam menjadi siang, siang menjadi malam.

Terang beliau, William Ewart Gladstone yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri British pada kurun ke 19 menyebutkan dalam sidang Parlimen British bahawa selagi mana ada kitab Al-Quran maka orang Islam tidak akan dapat ditundukkan.

Tuan Guru Abdul Hadi juga menceritakan bahawa Barat mengambil ilmu-ilmu dunia daripada tamadun Islam dan melalui ilmu-ilmu tersebut Barat mengatasi tamadun Islam dalam perlumbaan teknologi dan senjata.

Namun begitu, katanya Barat sedang mengalami proses kejatuhan yang dimulakan dengan kejatuhan Soviet Union dan sekarang Amerika dan Eropah disebabkan oleh ilmu dunia yang tidak mengikut acuan Allah.

Beliau menjelaskan ilmu-ilmu yang digagaskan oleh ulama Islam seperti ilmu perubatan disalahgunakan oleh Barat sehingga melahirkan ramai penagih di seluruh dunia dan merosakkan akal.

Katanya, sistem pendidikan yang tidak mengikut Islam telah mengalami kegagalan dengan mengejar kemewahan dunia sehingga mencipta penganggur yang banyak.

Beliau menerangkan bahawa sudah hilang izzah untuk belajar ilmu Islam dan malu untuk belajar Islam dan atas sebab itu Darul Quran ditubuhkan supaya pengajian Islam diteruskan dan juga untuk menentang agenda-agenda yang mengikut pemikiran Gladstone.

Presiden PAS menyebutkan antara tokoh yang menghidupkan agama walaupun tidak ke universiti adalah Abdul Aziz Bouteflika iaitu Presiden Algeria semasa. Beliau tidak sempat untuk melanjutkan pengajian ke universiti atas sebab jihad menentang Perancis.

Tuan Guru juga menyenaraikan tokoh Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah) yang hanya mengaji agama di Sekolah Agama Pesantren dan Jeneral Sudirman iaitu Panglima Tentera Indonesia yang pertama menentang Belanda hanya berlatar belakangkan pengajian agama sekadar sekolah agama rakyat.

“Jangan kita berasa lemah sangat. Yang boleh sambung (pengajian), sambung, yang tak boleh sambung hidupkan ilmu itu,” kata beliau.

Beliau juga menceritakan lawatan beliau ke Algeria untuk berjumpa dengan Menteri Pengajian Tinggi Algeria bagi membincangkan prospek Pendidikan di sana dan Menteri tersebut memberikan jaminan namun memerlukan kerjasama rasmi daripada kerajaan.

Beliau turut melawat Tunisia bagi berjumpa dengan Rektor Universiti Zaytun yang lebih tua daripada Universiti Al-Azhar di Mesir.

Beliau juga turut menerima kunjungan saudara Omer Faruk, penasihat kepada Perdana Menteri Turki di Pejabat Agung PAS untuk berbincang dan beliau menawarkan pengajian di Turki pada semua jenis lapangan pendidikan. – HARAKAHDAILY 27/7/2018