Pasar Kedai Buloh, MBKT janji baikpulih

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Para peniaga Pasar Kedai Buloh menerima berita gembira apabila Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berjanji membaiki keadaan pasar itu yang suram dan seolah-olah terbiar.

Sebagai komitmen yang tinggi terhadap janji itu, Datuk Bandar MBKT, Samiun Salleh sendiri turun bersama wakil MBKT bagi meninjau masalah sebenar pasar itu.

Beberapa isu dibangkitkan antaranya ialah atap tercabut, najis burung dan longkang tersumbat yang sudah sekian lama sama ada tidak dibaiki atau diselenggarakan.

Menurut peniaga di situ, ada peniaga makanan terpaksa menggunakan payung ketika berniaga kerana najis burung yang jatuh dari atap pasar.

Pegawai MBKT, Mohd Radzi Mohd Shah berkata, masalah-masalah yang telah dikenal pasti akan diselesaikan dengan kadar segera mengikut proses sepatutnya.

“Ada tiga isu besar, yang pertama sebahagian atap tu dah tercabut, dan kita akan baiki. Kemudian najis burung, yang itu kita akan buat ‘netting’ (jaring) dan yang ketiganya ialah longkang yang mungkin tersumbat.

"Sebab dia punya mendapan berlaku menyebabkan longkang itu lari (dari kedudukan asal) jadi kita akan buat balik alirannya,” terang beliau.

Mohd Radzi juga memberi tempoh kira-kira dua bulan bagi memproses bajet dan membuka tender sebelum kerja-kerja baikpulih dimulakan.

Turut serta dalam tinjauan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak.

Hadir sama, Adun Bukit Payong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah serta Pengerusi J3K Kedai Buloh, Ustaz Hassan Mat Amin.

Sementara itu seorang peniaga kuih tradisional, Akmal Abdullah, 49, menyatakan rasa terima kasih beliau terhadap usaha J3K memanjangkan masalah ini kepada MBKT.

Beliau juga memberitahu, hasil jualan peniaga-peniaga di pasar itu jatuh berbanding dengan pasar lama dahulu ketika mula-mula ianya dibuka.

"Namun sehingga sekarang, tidak banyak berubah walaupun ada sedikit peningkatan mungkin kerana dengan masalah-masalah yang berpanjangan tidak diselesaikan semenjak dahulu.

“Pendapatan kami jauh lebih baik ketika di pasar lama dahulu. Walaupun sekarang ini agak baik jualan di sini berbanding permulaan dahulu, tetapi masih belum boleh dibandingkan dengan pasar lama dahulu,” kata beliau yang sudah kira-kira 20 tahun berniaga.

Pasar Kedai Buloh yang dikenali sebagai pusat jualan kuih tradisional tersohor di Terengganu itu, mungkin akan menerima nasib yang tidak menentu jika keadaan pasar ini tidak dipedulikan.

Perasaan itu dikongsi oleh Siti Sarah Mohamad 32, rakan Akmal kerana pada pendapat beliau, kedudukan lot tapak jualan kuih ini agak ke dalam, menyukarkan orang untuk masuk ke dalam.

“Macam orang luar jika datang, mereka tidak tahu yang ini adalah pasar, sebab tiada papan tanda.
Ramai juga yang datang dari pintu utama, mereka lihat atas, bawah, banyak gerai-gerai yang kosong, kemudiannya mereka keluar, sedangkan gerai kuih ini ada di belakang,” jelas beliau.

Kedua-dua mereka berharap Pasar Kedai Buloh akan menjadi lebih ceria dan cantik setelah tindakan baik pulih diambil oleh MBKT.

Ketika tinjauan dibuat, hanya terdapat kira-kira 20 peniaga sahaja yang masih berniaga di sini sedangkan lot-lot kedai dan gerai yang disediakan kira-kira 150 lot semuanya. -HARAKAHDAILY 27/7/2018