Aset tidak siap siaga, perairan negara terancam

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Isu keselamatan dan penguatkuasaan di perairan Terengganu menuntut kerajaan menyediakan aset yang siap siaga untuk menghadapi pelbagai kemungkinan dari berlaku, demikian gesa Ahmad Amzad Hashim (PAS – Kuala Terengganu).
 
Jelasnya, keperluan itu bukan sahaja untuk menghadapi pencerobohan oleh nelayan asing, tetapi juga ancaman keselamatan yang boleh wujud terhadap pelantar petroleum dan warga kerjanya dari pencerobohan anasir seperti militan.
 
“(Bahkan juga), jika berlaku konflik antara negara-negara yang melibatkan Malaysia,” ujarnya mengajukan persiapan strategik itu ketika membahas Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini kelmarin.
 
Tegas beliau, isu tersebut bukan kecil dan jangan sekali-kali dipandang tidak begitu penting di mana petunjuknya dapat dilihat pada harga hasil perikanan yang mahal di Terengganu kerana hasil tangkapan nelayan berkurangan.
 
Sedangkan menurutnya, perairan Terengganu kaya dengan jenis hasil laut bernilai tinggi, tetapi pencerobohan nelayan asing khususnya daripada Vietnam dengan segala kelengkapan pukat yang diharamkan negara ini berlaku setiap hari.
 
“Isu nelayan Vietnam bukan setakat di perairan, malah ada yang telah mendarat di darat masuk ke dalam Bandaraya Kuala Terengganu dan sebagainya tanpa sebarang dokumen kemasukan yang sah. Ini juga berkait isu keselamatan aktiviti cari gali dan pengeluaran petroleum dari perairan Terengganu.
 
“Malaysia memperoleh pendapatan dan jumlah besar daripada hasil petroleum. Wang petroleum yang menjana pertumbuhan dan pembangunan pelbagai projek mega di dalam negara kita. Persoalannya, bagaimana kita menjaga keselamatan pelantar-pelantar cari gali minyak yang merupakan kilang duit kita?” soalnya.
 
Maklum Amzad, perairan Terengganu dan Kelantan menempatkan lebih 180 pelantar minyak dan gas di mana 60 peratus daripadanya mempunyai jarak terdekat dengan Kuala Terengganu yang menempatkan pelabuhan dan pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
 
Jelasnya, Kuala Terengganu kini menjadi hub logistik kapal sokongan dan industri petroleum yang semakin diminati, malah kawasan sekitar pelantar minyak sebagai habitat ikan paling kaya itu menarik kemasukan nelayan Vietnam.
 
Utaranya lagi, beliau melihat aset APMM berada dalam keadaan menyedihkan dan tidak siap siaga untuk melaksanakan fungsi dengan sepatutnya, sekali gus kekurangan itu menjadi penghalang anggota melaksanakan tugas biarpun memiliki semangat dan disiplin yang tinggi.
 
“Kapal-kapal yang buruk, sudah lama dan tidak sesuai untuk melaksanakan tugas secara efektif. Saya dulu pernah menjadi Ahli Majlis Industri Pertahanan Malaysia tahun 1999 hingga 2004. Ketika APMM mula ditubuhkan, kapal-kapal sebahagian besarnya merupakan yang lama dan diserahkan oleh TLDM dan PDRM, sebahagiannya berada dalam keadaan uzur.
 
“APMM bila mahu tangkap kapal nelayan, tapi tak tahu mahu diletak di mana. Tak cukup kemudahan. Ini adalah satu masalah besar yang saya minta supaya kerajaan memberi tumpuan. Sebab negara kita banyak bergantung kepada kekayaan daripada sumber laut.
 
“Ini aset kita, kita sama perlu sama-sama perlu pertahankan aset kita, kita ambil duit daripada sana, tapi kita tak jaga,” bidasnya namun berjanji akan memberikan kerjasama terbaik kepada Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan hal berkaitan. - HARAKAHDAILY 27/7/2018