Petroleum: Sentralisasi di negeri pengeluar

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Sentralisasi urus tadbir berkaitan petroleum wajar diletakkan di negeri-negeri yang mengeluarkan sumber bumi tersebut, demikian cadang Ahmad Amzad Hashim (PAS – Kuala Terengganu) pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini kelmarin.
 
Menurut beliau, sekiranya dilaksanakan, ia bukan sahaja akan menangani penghijrahan rakyat daripada negeri-negeri terbabit, malah sebahagian beban kesesakan di Wilayah Persekutuan kerana bertumpunya urusan pentadbiran negara di Lembah Klang dapat dipindahkan.
 
“Rakyat daripada Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak, tak perlu (lagi berhijrah). Sebab peluang pekerjaan berada di tempat mereka. Maka ini akan membolehkan kepakaran tempatan digalakkan,” ujarnya membahas Titah DiRaja, kelmarin.
 
Amzad turut membangkitkan mengenai janji Manifesto PH memberi royalti 20 peratus yang wajib dikotakan, namun kini terpaksa menunggu sehingga 6 bulan untuk Jawatankuasa Kabinet menentukan maksud kadar tersebut daripada keuntungan.
 
Katanya, Terengganu telah mengalami kesan dari tindakan zalim BN menafikan pembayaran royalti sejak tahun 1999 apabila PAS mengambil alih pemerintahan negeri.
 
Oleh itu gesa beliau, sementara menunggu tempoh 6 bulan kajian tersebut, pembayaran mengikut kaedah sepertimana sebelumnya perlu dilakukan termasuk tunggakan-tunggakan yang ada.
 
Tambahnya lagi, Kerajaan Persekutuan juga telah menggunakan sejumlah RM1.85 billion sebagai pendahuluan yang diberikan Kerajaan Negeri Terengganu untuk sebahagian kos pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur.
 
“Tak pernah dengar lagi guna duit negeri untuk membiayai projek Persekutuan. Adalah silap untuk Kerajaan Pusat mendakwa telah membayar kembali duit tersebut dengan menyelesaikan hutang Kerajaan Terengganu berjumlah RM200 juta dengan memberi peruntukan sebanyak RM118 juta bagi pembinaan jalan raya empat lorong di Kemaman.
 
“Saya tegaskan bahawa wang sebanyak RM1.85 billion itu tidak boleh dibayar oleh Kerajaan Pusat dalam bentuk peruntukan kepada Kerajaan Negeri atau dalam bentuk penyelesaian hutang kerajaan sedia ada.
 
“Hal ini kerana pemberian penyelenggaraan jalan negeri ‘State Road Grant’ sememangnya wajib dibuat oleh kerajaan mengikut peruntukan yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan,” peringat beliau. - HARAKAHDAILY 27/7/2018