Gesa isytihar Israel Negara Aparteid

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengambil langkah tegas mengisytiharkan secara terbuka Israel sebagai Negara Aparteid, demikian kemuka Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS - Sik).

Katanya, Malaysia perlu mengutuk segala langkah lakukan selepas Israel luluskan satu RUU Ketuanan Yahudi dan mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai milik mereka.

"Sudah pasti kita yang sudah pun bergerak sekian lama menyokong perjuangan rakyat Palestin ini, mengingat kembali apa yang telah ditulis pada 20 Disember 1940 oleh Yosef Oweitz, Pengarah Tanah dan Tabung Nasional Yahudi.

“(Tulisan itu) Di kalangan kita perlu jelas bahawa tidak ada ruang hidup bersama antara Yahudi dan Arab. Apabila kaum Arab dapat dikeluarkan, tanah ini akan terbuka untuk kita, tidak ada ruang kompromi.

"Memberi tanah tidak akan berjaya mewujudkan sebuah negara. Hanya satu cara sahaja iaitu memindahkan orang Arab ke negara jiran. Jangan ada seorang suku kaum dan penduduk Arab yang terbaki.

"Hanya dengan itu sahaja berjuta Yahudi dapat dimasukkan ke bumi Palestin. Tidak ada cara lain,” ujarnya membaca petikan itu pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

Menurut beliau, kenyataan sejarah itu sangat besar kesannya kepada konflik sedang berlaku di seluruh dunia hari ini di mana terdapat lebih 4 juta pelarian Palestin di negara berjiran.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan mengambil langkah antaranya menyeru Pertubuhan Bangsa Bersatu dan masyarakat dunia untuk memperakui laporan bahawa Israel telah melakukan jenayah aparteid.

Kedua cadangnya, menerusi tindakan yang sesuai dengan obligasi legal dalam peruntukan Konvensyen Aparteid dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap Negara Israel.

Ketiga ujarnya, mengisytihar sokongan dan perakuan PAS terhadap laporan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB untuk Asia Barat PSCWA.

Terangnya, laporan mengenai amalan Israel terhadap warga Palestin dan persoalan dasar aparteid telah disahkan tanpa ragu bahawa Israel telah melakukan jenayah Aparteid.

Manakala keempat serunya, Malaysia mengambil inisiatif hubungan serantau melalui Parlimen-parlimen Negara Asian menyatakan penentangan dasar aparteid Israel.

Beliau juga turut berharap kerajaan menerusi pelbagai kementerian menggerakkan fungsi kempen berkaitan seperti boikot secara berterusan terhadap produk Israel.

Maklum beliau, keadaan di Semenanjung Gaza sekarang mencapai kemuncak krisis kemanusiaan dan paling kritikal pihak Israel menutup segala ruang bantuan antarabangsa.

Malah menurutnya, mereka mengarahkan Kerajaan Mesir menutup pintu laluan sempadan Rafah untuk konvoi kemanusiaan termasuk daripada United Nation menghantar ke bantuan ke Semenanjung Gaza.

"Saya cadang supaya kita atas nama Kerajaan Malaysia membuat desakan kepada Kerajaan Mesir membuka pintu sempadan Rafah untuk menghantar bantuan kemanusiaan.

"Sama ada barangan keperluan untuk kanak-kanak, bayi, wanita yang sedang menderita di sana. Dan jika ada kekuatan (anggota) Parlimen Malaysia mengadakan delegasi masuk ke Semenanjung Gaza untuk ke sekian kalinya.

"Saya bersama Tuan Speaker sendiri telah masuk ke Gaza pada bulan Ramadan tahun 2011," ujarnya berharap usaha itu diteruskan dengan penglibatan ramai Ahli Parlimen Malaysia.

Terdahulu dalam ucapannya itu beliau memberitahu perkembangan terkini di Palestin di mana rejim Israel menggiatkan serangan hingga hujung Mei lalu membunuh 140 penduduk awam dan lebih 60,000 cedera. - HARAKAHDAILY 26/7/2018