Mengangkat kredibiliti pemimpin dan negara

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Fundamental konsep pengasingan kuasa badan negara, kebertanggungjawaban kerajaan dan wibawa anggota Kabinet menjadi perkara penting disentuh Dato’ Takiyuddin Hassan (PAS – Kota Bharu) di Parlimen, di sini.
 
Beliau berkata, ketika ini seolah-olah berlaku pencerobohan (encroachment) melibatkan Badan Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman; antaranya penguasaan satu badan atau satu orang ke atas badan-badan lain, yang diharapnya tidak berlarutan.
 
Setiausaha Agong PAS itu juga mengajukan teguran khusus kepada anggota Kabinet dalam kalangan Menteri dan Timbalan Menteri yang mempunyai tanggungjawab memberikan penjelasan ataupun pencerahan terhadap semua perkara dibangkitkan Ahli Parlimen.
 
Manakala Ahli-ahli Parlimen lain daripada kerajaan dan pembangkang pula menurutnya, berperanan untuk menyemak (scrutinize) dan mempersoalkan tindakan-tindakan yang dibuat oleh pihak eksekutif iaitu kerajaan.
 
“Sebab itulah pentingnya dalam sesebuah kerajaan pembentukan Kabinet ataupun anggota Kabinet ini untuk menjadikan sebuah ‘responsible government’. Maka orang yang dilantik menjadi Menteri dan Timbalan Menteri mestilah berwibawa, berkaliber dan sebagainya.
 
“Kaliber ini termasuklah, tak ponteng. Dalam akhbar hari ini, Perdana Menteri telah memberikan komen, kehadiran di Dewan tidak memuaskan. Perdana Menteri minta Menteri, Timbalan Menteri beri alasan kukuh jika tidak hadir.
 
“Tiba-tiba tengahari ini, berlaku satu peristiwa tak cukup korum di dalam Dewan ini. Adakah ini suatu ‘silent protest’ kepada Ahli-ahli Kerajaan terhadap ‘government’?” soalnya pada Sidang Dewan Rakyat, semalam.
 
Takiyuddin turut menyentuh ‘keganjilan’ Kabinet Kerajaan PH kerana terdapat Menteri atau Timbalan Menteri memegang portfolio yang tidak selari dengan profesionnya, termasuk mewakili Parlimen kawasan bandar tetapi menerajui Kementerian Luar Bandar.
 
Beliau tidak mempersoal atau memperkecilkan kebolehan, tetapi tegasnya, penting portfolio misalnya Hal Ehwal Islam dan lain-lain itu diberi kepada mereka yang berkemampuan agar ‘responsible government’ dapat dilaksanakan.
 
Kerajaan Teknokrat
 
Sarannya, kerajaan boleh mengamalkan konsep disebut Kerajaan Teknokrat sebagaimana di negara Tunisia, Pakistan, Bulgaria, Greece dan juga Romania dengan melantik pakar ataupun profesional dalam bidang masing-masing untuk menjadi anggota Kabinet.
 
Dalam konteks Malaysia terangnya, ia dapat diadakan dengan melantik mereka menjadi Senator apabila kerajaan tidak mempunyai pakar-pakar dalam kalangan Ahli Parlimen mereka untuk menjadi anggota Kabinet.
 
Dato’ Taki turut menyokong langkah Kerajaan PH tidak melantik Peguam Negara (AG) daripada kalangan Ahli Parlimen kedudukannya akan menjadi lebih tinggi daripada Presiden Partinya sendiri, tetapi membayangkan AG sebagai ahli di dalam Dewan Parlimen.
  
“Penasihat Undang-undang Negeri, merupakan Ex-Officio di dalam Exco dan mereka ini duduk di dalam Dewan Undangan Negeri. Kenapa tidak AG duduk di dalam Dewan Parlimen?
 
“Untuk menyelesaikan, menjawab dan sebagainya soalan-soalan yang dibangkitkan? Mungkin beliau boleh dilantik sebagai Senator untuk duduk di sini buat masa ini,” kemuka beliau yang juga seorang peguam berpengalaman. - HARAKAHDAILY 26/7/2018