Terengganu tuntut penjelasan menteri

Berita
Typography
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menuntut penjelasan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato' Seri Azmin Ali, terhadap penangguhan bayaran royalti minyak kepada negeri ini.
 
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri akan cuba mendapat penjelasan lebih lanjut daripada pihak Azmin di atas kenyataannya itu. 
 
"Ini kerana, ianya ada sedikit tersasar dari apa yang kita jangka (lima peratus) sebelum ini. Kita (Terengganu) berharap ianya perlu diselesaikan dengan kadar segera. 
 
"Banyak program-program dan projek-projek yang ingin kita (Terengganu) laksana di peringkat negeri (terbantut) dan ke semuanya memberi kepentingan kepada rakyat. 
 
"Perancangan (kerajaan) itu bergantung juga kepada penerimaan wang daripada royalti," ujarnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. 
 
Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ustaz Ariffin Deraman dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mokro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
 
Justeru, kata Dr Ahmad, sebarang kelewatan dan perubahan dasar itu menyebabkan berlaku kekurangan jangkaan peruntukan negeri.  
 
"Ianya (perubahan dasar) akan memberi kesan, bukan sekadar kerajaan negeri. Tetapi, yang lebih bimbang ialah kesan kepada rakyat. Jadi, kita minta pertimbangan ini perlu disegerakan.
 
"Saya juga percaya negeri-negeri lain yang menjadi pengeluar minyak ini mengambil serius perkara ini. 
 
"Kita tidak mahu akibat daripada perubahan dasar yang mungkin berlaku ini menyebabkan kekurangan peruntukan berbanding dengan yang diterima kerajaan negeri sebelum ini," jelasnya. 
 
Pada sidang Parlimen, Azmin ketika menjawab pertanyaan lisan Dato' Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) mengenai pemberian itu dijawabnya penangguhan dibuat kerana pihak Kerajaan Pusat perlu menunggu Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipinda.
 
"Cadangan (20 peratus) itu tidak dapat dilaksanakan segera kerana bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 disebabkan, pengiraan berdasarkan gross profit (keuntungan kasar) dan bukan nett  profit (keuntungan bersih).
 
"Sekiranya penambahan royalti Petroleum kepada 20 peratus hendak dilaksanakan, ia akan mengambil masa kerana perlu ada pindaan Akta Pembangunan Petroleum 1974.
 
"Jika Petronas dikehendaki tambah royalti kepada 20 peratus daripada jumlah hasil pengeluaran kasar kepada negeri pengeluar minyak, ia akan memberi implikasi serius terhadap kewangan Petronas dan Kerajaan Persekutuan," jelas Azmin.
 
Sehubungan itu kata Dr Samsuri lagi, cadangan bayaran royalti 20 peratus mengikut keuntungan bersih akan terdapat perbezaan berbanding dengan lima peratus keuntungan kasar sebelum ini.
 
"Cadangan 20 peratus daripada keuntungan (bersih), kerana ianya akan ada perbezaan daripada jumlah (bayaran), berbanding lima peratus daripada pengeluaran. 
 
"Ini yang kita kesan dan saya bagi pihak kerajaan negeri dengan rakan-rakan dari negeri (pengeluar minyak) yang lain juga amat kesal perkara ini. 
 
"Kita tidak mahu perubahan dasar ini (menyebabkan) jumlah (royalti) itu mengecil berbanding sebelum daripada ini. Jika (hasil) bertambah tidak mengapalah," tegasnya.
 
Beliau yang juga Adun Rhu Rendang menyifatkan, pertemuan pertama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Jun lalu positif.
 
Katanya, pertemuan pertama itu berasaskan kepada royalti akan dibayar terus kepada Kerajaan Negeri Terengganu.
 
"Hasil daripada pertemuan pertama dengan YAB Perdana Menteri, (Tun Dr Mahathir) adalah keputusan dari perkara asas iaitu royalti itu diberi 'direct' (terus) kepada negeri dan tidak seperti amalan sebelum ini dinamakan dana khas yang diberi kepada agensi Persekutuan.
 
"Itu suatu peningkatan dan perubahan positif iaitu diberi 'direct' kepada kerajaan negeri. Dan kita (Terengganu) pada peringkat pertama itu sangat menyambut baik dan itulah yang kita mahu. 
 
"Tinggal lagi yang tidak diputuskan dalam pertemuan itu yang tidak dibuat keputusan dalam pertemuan dengan YAB Perdana Menteri itu, adalah mengenai berapakah jumlahnya. 
 
"Sama ada lima peratus atau 20 peratus, atau pun bagaimana? Jadi ini tidak dibuat keputusan dalam pertemuan itu," jelasnya kepada wakil media. -HARAKAHDAILY 25/7/2018